KUCHING: Beberapa bahagian di Sarawak mengalami gangguan bekalan air pada hari ini.
Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak menerusi perkongsian notis gangguan bekalan air di Facebook rasminya memaklumkan antara bahagian yang terlibat ialah Bahagian Serian, Bahagian Mukah (Daerah Oya, Dalat), Bahagian Miri (Daerah Subis) dan Bahagian Limbang (Daerah Lawas).
Bagi Bahagian Serian, kawasan yang terjejas bermula 6.30 pagi hingga 5.00 petang ialah di sepanjang Jalan Kuching-Serian dari Batu 30 sehingga Batu 38 Bulatan Stabun, sebahagian kawasan pasar Serian, sepanjang simpang masuk Jalan Baki menuju ke Kampung Taee, seluruh kawasan Tarat, seluruh Jalan Ensenggei dan kawasan sekitarnya.
Gangguan bekalan air di kawasan terlibat itu adalah bagi memberi ruang kepada kontraktor Lebuhraya Pan Borneo (LPB) atau kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih pada kebocoran paip utama berhampiran Kampung Hulu, Serian.
Bagi Bahagian Mukah bermula 9.00 pagi hingga 5.00 petang melibatkan Daerah Mukah, Dalat, Oya dan Igan, kawasan yang terjejas dari simpang Politeknik/UiTM ke Oya, Kampung Judan Hulu dan Hilir, Kampung Penat Hulu dan Hilir, sebahagian kawasan Dalat Daerah Kecil Oya dan Igan.
Bahagian Mukah di beberapa daerah itu mengalami gangguan bekalan air untuk member laluan kepada pihak kontraktor yang dilantik pihak JBALB membuat kerja membaik pulih saluran paip utama yang mengalami kebocoran di jambatan Kampung Penat.
Bagi Bahagian Miri pula, kawasan terjejas bermula 8.00 pagi hingga 6.00 petang ini melibatkan Daerah Subis iaitu di Fairy Park, Taman Negara Lambir, Rh. Freddy, Rh. Embuas, Rh. Sain, Rh. James Ugil dan kawasan sekitarnya.
Bahagian terjejas akibat memberi laluan kepada pihak kontraktor LPB melakukan pemasangan paip berdekatan dengan CH46+850 – CH47+100 di Bukit Song, CH44+800 Rh. Sain, CH44+100 Rh. Freddy, CH43+700 Taman Negara Lambir dan CH42+712 Fairy Park yang terletak dalam kawasan pembinaan LPB.
Kawasan terjejas manakala di Bahagian Limbang bermula 9.00 pagi hingga 5.00 petang hari ini melibatkan Kampung Seberang Kedai, Kampung Luagan, Kampung Mission, Kampung Ladang Baru, Kampung Lakutan dan Kampung Surabaya.
Antara faktor gangguan bekalan air adalah disebabkan kerja-kerja penyambungan paip oleh kontraktor luar ke Projek New Anjung Usahawan, Kampung Ladang Baru.
Bekalan air akan ditutup sepanjang masa gangguan.
Justeru, pengguna di setiap kawasan terlibat adalah dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air yang secukupnya untuk keperluan sepanjang tempoh gangguan tersebut.
Pihak JBALB akan memastikan gangguan bekalan air akan dapat diselesaikan dengan kadar segera dan bekalan air akan pulih secara berperingkat di kawasan yang terjejas.
Untuk sebarang aduan dan pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Call Centre JBALB Sarawak di talian 082-262211.