BINTULU: Beberapa kawasan di sekitar Bintulu dijadual mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 7.00 malam esok hingga 4.00 pagi Jumaat bagi membolehkan Sarawak Water melaksanakan kerja-kerja penggantian injap pintu (SV) yang rosak di Sekolah Agama dan Wisma Bintulu.
Menurut notis yang dikeluarkan Sarawak Water Wilayah Utara Bintulu, kawasan yang dijangka mengalami gangguan bekalan air sepenuhnya ialah BMC, Sekolah Agama, Kelab Kidurong, Masjid Assyakirin, Stadium, Kelab Golf dan Wisma BDA.

Sementara itu, kawasan Medan Central dijangka mengalami tekanan air rendah sepanjang tempoh kerja penyelenggaraan berkenaan dijalankan.
Sarawak Water memaklumkan perkhidmatan trak tangki air akan disediakan mengikut keperluan dan permintaan bagi membantu pengguna di kawasan yang terjejas.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya membuat persediaan awal dengan menyimpan bekalan air secukupnya sebelum gangguan bermula serta menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh kerja penyelenggaraan dilaksanakan.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Sarawak Water Wilayah Utara Bintulu di talian 086-318160.
Oleh Faizah Muzidi



