Gangguan bekalan air berjadual libat beberapa kawasan Kuching

Facebook
WhatsApp
NOTIS gangguan bekalan air berjadual selama 24 jam berikutan kerja pembaikan paip air berdiameter 1,100 milimeter (mm) di Jalan Matang. Foto JBALB.

KUCHING: Beberapa kawasan di sini akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 24 jam bermula 9.00 malam, 4 September hingga 9.00 malam pada keesokan harinya, berikutan kerja-kerja pembaikan paip air berdiameter 1,100 milimeter (mm) di Jalan Matang.

Menurut notis Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, gangguan berkenaan melibatkan kawasan bermula dari Yayasan Sarawak di Jalan Sultan Tengah sehingga Damai Santubong, Kampung Bako, Kampung Selabat dan Kampung Muara Tebas.

Kerja berkenaan dilaksanakan bagi memberi laluan kepada pihak Sarawak Water Sdn Bhd (SWSB) menjalankan kerja pembaikan paip air berkenaan, selaras dengan notis bertarikh 28 Ogos.

Sehubungan itu, pengguna di kawasan terjejas dinasihatkan supaya menyimpan bekalan air yang mencukupi untuk keperluan sepanjang tempoh gangguan.

JBALB Sarawak turut memaklumkan pihaknya akan memastikan gangguan bekalan air dapat diselesaikan dengan secepat mungkin dan bekalan akan kembali pulih secara berperingkat di kawasan terjejas.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan JBALB Sarawak di talian 082-262211.