
KUCHING: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) memaklumkan bahawa gangguan bekalan air berjadual akan berlaku di seluruh kawasan Kampung Santubong pada 23 September 2025.
Menurut kenyataan JBALB, gangguan bermula 9.00 malam hingga 3.00 pagi (hari berikutnya) bagi memberi laluan kepada pihak kontraktor melaksanakan kerja penyambungan paip bersaiz 160mm jenis HDPE di bawah Projek Penukaran Paip Kampung Santubong.
“Sepanjang tempoh tersebut, pengguna dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya untuk keperluan harian. Bekalan air akan dipulihkan secara berperingkat selepas kerja siap dilaksanakan,” jelas kenyataan itu.
JBALB menegaskan, pihaknya akan berusaha memastikan kerja penyelenggaraan dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan dan sebarang kesulitan yang timbul amat dikesali.
Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan JBALB Sarawak di talian 082-262211 atau melayari laman rasmi https://jbalb.sarawak.gov.my.