
SIBURAN: Bekalan air di seluruh Kampung Maang, Siburan akan mengalami gangguan sementara pada hari ini bermula 9.00 pagi hingga 3.00 petang bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyambungan paip oleh kontraktor yang dilantik.
Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, gangguan itu melibatkan kerja penyambungan paip berukuran 160mm di Kampung Maang, Jalan Kuching–Serian Lama.
Sehubungan itu, pengguna yang terjejas dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan sepanjang tempoh gangguan.
JBALB Sarawak turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan kerja tersebut dengan segera dan memastikan bekalan air kembali pulih secara berperingkat.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Pusat Panggilan JBALB Sarawak di talian 082-262211 atau layari laman web rasmi di https://jbalb.sarawak.gov.my.