
SIBU: Beberapa kawasan di sekitar Sibu akan mengalami gangguan bekalan air bermula 10.00 malam ini susulan kerja membaik pulih paip utama yang pecah di hadapan bangunan Persatuan Foochow, Jalan Salim.
Lembaga Air Sibu (LAS) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kerja pembaikan dijangka mengambil masa sembilan jam dan melibatkan paip utama jenis Mild Steel berdiameter 750mm yang mengalami kebocoran akibat tanah mendap.
“Kegagalan untuk menjalankan pembaikan kritikal ini boleh mengakibatkan kerosakan paip yang serius, menyebabkan gangguan bekalan air yang berpanjangan dan menjejaskan ribuan penduduk serta premis perniagaan,” menurut kenyataan itu.
LAS turut memberi amaran bahawa kebocoran tersebut boleh bertambah buruk jika tidak ditangani segera, berisiko menyebabkan kerosakan besar pada infrastruktur, runtuhan jalan, serta pencemaran bekalan air.
Antara kawasan yang akan terjejas termasuk Jalan Stabau/Jalan Kong Yit Khim hingga Jalan Nibong Tada dan Durin, Jalan Salim hingga Jalan Pedada/Jalan Dr. Wong Soon Kai, Jalan Ling Kai Cheng hingga persimpangan lampu isyarat Ling Kai Cheng/Ulu Sungai Merah, Jalan Lada hingga ke bandar Sibu dan semua kawasan kampung.
Selain itu, Jalan Brooke Drive hingga Jalan Teng Chin Hua, Jalan Quarry hingga Jalan Pasai Siong, Jalan Wawasan hingga Bawang Assan serta Jalan Teku Lama hingga Jalan Ding Lik Kong.
Sehubungan itu, LAS menasihati semua pelanggan yang terjejas supaya membuat persediaan menyimpan air secukupnya bagi mengurangkan kesan gangguan.
“Kami memberi jaminan bahawa pasukan kami akan berusaha menyelesaikan kerja-kerja pembaikan dengan secepat mungkin bagi memulihkan bekalan air seperti biasa,” katanya.
Oleh Tarani Lanting