
KUALA LUMPUR: Harapan menggunung peminat badminton tanah air untuk melihat beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjulang gelaran sulung kejohanan bertaraf Super 1000 musnah, apabila mereka dikejutkan pasangan scratch Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri di pentas akhir Terbuka China 2025.
Pada pertarungan yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik hari ini, Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking kedua dunia, langsung tidak mampu menandingi keserasian mengejut gandingan Indonesia yang baru digabungkan sejak minggu lepas di Terbuka Jepun 2025.
Juara dunia 2022 itu, boleh dilihat bergelut untuk membaca permainan gandingan Indonesia sejak awal permainan, dengan ketinggalan 1-9 sebelum berakhir dengan 15-21 pada set pembukaan.
Set kedua menyaksikan nasib yang tidak jauh berbeza, apabila beregu negara terus dibelenggu tekanan demi tekanan oleh lawan mereka yang nyata bermain tanpa tekanan dan penuh keyakinan, dan akhirnya Aaron-Wooi Yik terpaksa akur dengan kekalahan 14-21 yang berakhir dengan 35 minit.
Kekalahan itu juga menyekat peluang Aaron-Wooi Yik untuk menambah koleksi kejuaraan musim ini selepas memenangi Kejohanan Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura selain muncul naib juara Malaysia Masters.
Sementara itu, Wooi Yik mengakui mereka bergelut untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainan pasangan Indonesia yang mengejutkan mereka dengan kepelbagaian pukulan dan kawalan sepanjang perlawanan.
Beliau turut menyatakan bahawa keadaan berangin di gelanggang menjadi antara faktor utama yang lebih berjaya dikuasai pihak lawan.
“Kami nampaknya agak sukar untuk berdepan mereka, kerana tidak menjangkakan begitu banyak jenis pukulan yang membuatkan kami terkejut. Kami sebenarnya ada perancangan permainan, tetapi mereka bermain dengan sangat baik.
“Saya rasa mereka mengawal bulu tangkis dengan baik kerana gelanggang satu agak berangin. Jadi perbezaan ketara ialah mereka dapat mengawal bulu tangkis dengan sangat baik, terutamanya pada tiga pukulan awal, yang penting untuk kami mahupun mereka, kerana gaya permainan kami hampir sama. Jadi saya rasa mereka bermain dengan sangat baik hari ini,” katanya menerusi rakaman yang dikongsi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) malam ini.
Aaron turut sependapat dengan Wooi Yik, memuji kepantasan dan kualiti pukulan pasangan Indonesia itu serta berkata bahawa mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainan tersebut.
“Mereka bermain dengan sangat baik dan seperti yang dilihat, setiap pukulan mereka berkualiti tinggi dan kami tidak benar-benar dapat menanganinya. Maksud saya, disebabkan mereka pasangan baharu, kami perlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dan menganalisis corak permainan mereka.
“Dan anda boleh lihat prestasi mereka minggu ini sangat luar biasa. Mereka berjaya menewaskan pasangan nombor satu dunia, seperti yang berlaku semalam. Jadi, saya rasa kami masih perlukan masa untuk memahami permainan mereka,” katanya.
Mengulas mengenai harapan menjelang Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025 di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini, Wooi Yik berkata mereka mengambil pendekatan untuk tenang dan berpijak di bumi nyata.
“Kami tahu ramai yang meletakkan harapan ke atas kami, bukan hanya baru-baru ini, tetapi sejak beberapa tahun ini. Kami hanya kekal tenang kerana kami percaya masa lepas adalah sejarah. Saya rasa corak permainan kami sekarang sudah berbeza.
“Jadi kami hanya percaya antara satu sama lain, percaya pada corak permainan kami, percaya pada latihan jurulatih dan kami masih ada sebulan lagi. Kami hanya perlu kekalkan rentak ini menuju ke Kejohanan Dunia. Saya rasa kalau kami tidak terlalu meletakkan harapan tinggi, kami mampu lakukan sesuatu,” katanya.
Aaron berkata walaupun sasaran mereka adalah untuk meraih pingat emas, fokus utama ialah untuk menghadapi satu perlawanan pada satu masa.
– Bernama