
SARATOK: Gandingan usaha gigih serta semangat kental dalam kalangan guru dan murid dikenal pasti sebagai ramuan utama yang memacu kecemerlangan dan kegemilangan Sekolah Kebangsaan (SK) Perpat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, kejayaan yang dicapai membuktikan komitmen berterusan warga sekolah dalam memperkukuh kualiti pendidikan serta pembentukan sahsiah murid.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah dan berharap pengiktirafan yang diterima menjadi galakan serta pembakar semangat untuk terus bekerja keras dalam menuntut ilmu demi mengejar cita-cita masing-masing.
Dalam masa sama, Mohamad Duri menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para guru atas dedikasi dan pengorbanan berterusan dalam memajukan pendidikan serta membentuk jati diri murid di SK Perpat.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan SK Perpat yang diadakan baru-baru ini, dengan perasmian majlis disempurnakan oleh Ahli Majlis Daerah Saratok, Kaunselor Majid Amit Zainuddin, mewakili ADUN Kalaka.
Sementara itu, Guru Besar SK Perpat, Yasmin Yusrina Jasman menzahirkan rasa bangga atas pencapaian para murid serta merakamkan penghargaan kepada para guru dan kakitangan sekolah atas komitmen tinggi dalam menjayakan agenda kecemerlangan pendidikan.
Beliau turut menghargai sokongan serta keprihatinan berterusan ADUN Kalaka terhadap pembangunan pendidikan di SK Perpat.
Kemuncak majlis menyaksikan Alicia Enchi Simon dinobatkan sebagai Tokoh Pelajar SK Perpat Sesi 2025, manakala Hakimi Shaheizy Razis menerima Anugerah Pelajar Terbaik Hal Ehwal Murid.
Sementara itu, Muhammad Qaleef Faqri Norhafizudin pula muncul sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik Kokurikulum. Majlis turut diserikan dengan persembahan pelajar, nyanyian nasyid, tarian etnik serta jamuan kesyukuran.
Oleh Adi Safarman