KAPIT: Galong Luang, 51, anak kelahiran Rumah Panjang Niga Sungai Nyiro Tinjar, Baram memulakan tugas sebagai Residen Bahagian Kapit yang baharu berkuat kuasa, hari ini.
Beliau mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Nyurak Keti yang bertukar ke Pejabat Residen Bahagian Bintulu.
Sebelum ini Galong adalah Timbalan Residen Bahagian Kapit sejak 2016.
Mendapat pendidikan awal di SK Long Teran Kanan Tinjar, Baram pada 1978-1983 dan meneruskan pendidikan ke Sekolah Menengah ke SMK Bakong Miri, Kolej Tanjong Lubang dan seterusnya menjejakkan kaki di menara gading UPM Serdang sehingga 1995.
Pernah bertugas sebagai guru sementara di Kolej Tunku Datu Haji Bujang Miri dari 1996 hingga 1997 dan mendapat tawaran bertugas sebagai pegawai penyelidik di Institut Kajian Perubatan, (IMR) Kuala Lumpur.
Pengalaman bertugas sebagai guru dan pegawai penyelidik perubatan di IMR Kuala Lumpur digunakan sepenuhnya oleh beliau yang memulakan tugas pertama sebagai Pegawai Tadbir Sarawak di Limbang pada 1998.
Galong ketika ditemui semasa majlis serah tugas di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Bahagian Kapit di Bleteh berharap agar kerjasama dan dedikasi yang diberikan oleh semua pegawai di Pejabat Residen Bahagian Kapit diteruskan seperti sebelum ini.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Kapit, Cerisologo Sabut, Pegawai Daerah Bukit Mabong, Robert Liman, Pegawai Daerah Song, Harry Bruce dan wakil Pegawai Daerah Belaga, Shokuri Alwi.
Oleh AKUN GIMAN