
DEBAK: Wanita digesa untuk terus melangkah ke hadapan dengan menyertai program Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) bagi memperkukuh kemahiran, menjana pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan keluarga.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata penyertaan wanita dalam bidang TVET mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta keusahawanan yang berdaya saing.
“Wanita yang berkemahiran adalah wanita yang mempunyai kekuatan ekonomi.
“Apabila wanita memiliki kemahiran, mereka bukan sahaja membantu ekonomi keluarga, tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Sinergi KEMAS: Santunan Desa KEMAS 2025 – Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) di Dewan Perpaduan Debak, hari ini.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, Pegawai Kemas Bahagian Betong, Jefry Lana Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak, Mohd Khairurani Mohd Ibrahim dan Temenggung Piee Alwi.
Menurutnya, program seperti WINS bukan sekadar medan perkongsian ilmu, tetapi juga platform membina keyakinan diri, memperluas pandangan dan memperkukuh potensi wanita sebagai pemacu kemajuan sosial serta ekonomi.
Razi menegaskan, TVET kini bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya menjadi laluan utama bagi wanita memperoleh kemahiran praktikal dalam pelbagai bidang termasuk jahitan, kulinari, teknologi makanan, penjagaan kanak-kanak, solekan profesional, reka bentuk digital dan keusahawanan.

“Saya amat menggalakkan agar lebih ramai wanita menyertai program TVET sama ada dalam bentuk latihan pendek, modul keusahawanan atau pensijilan kemahiran yang diiktiraf,” jelasnya.
Tambah Razi, kerajaan melalui pelbagai agensi seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Kolej Komuniti, GiatMARA, Politeknik, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dan institusi TVET negeri sedang memperkukuh jaringan latihan bagi memastikan wanita luar bandar turut mendapat akses kepada pendidikan kemahiran ini.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga.
“Wanita yang bahagia dalam keluarga akan lebih bersemangat dalam kerjaya dan masyarakat. Maka keseimbangan antara ilmu, kemahiran dan nilai kasih sayang perlu sentiasa dijaga,” katanya.
Beliau turut menggesa wanita untuk merebut setiap peluang yang disediakan kerajaan, sama ada dalam bidang keusahawanan kecil, latihan kemahiran, mahupun kepimpinan komuniti.
“Wanita bukan sekadar pengikut perubahan, wanita ialah pencetus perubahan. Apabila wanita bangkit dengan ilmu dan kemahiran, masyarakat akan turut bangkit bersama mereka,” tegas beliau.
Oleh Adi Safarman