BANDAR PERMAISURI: Kerajaan mengingatkan majikan supaya tidak menjadikan kadar gaji minimum yang baharu sebagai gaji permulaan kepada semua pekerja termasuk siswazah.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 Jumaat lalu, adalah gaji untuk pekerja asas dengan kelayakan akademik dan kemahiran rendah termasuk pekerja sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).
“Jadi kita sarankan supaya (pekerja) diberikan gaji setimpal berdasarkan kemahiran atau kelulusan akademik yang ada. Jangan jadikan gaji minimum sebagai penanda aras kepada gaji permulaan kepada semua pekerja.
“Ini (penyelarasan gaji minimum) adalah strategi untuk pekerja paling asas iaitu 4.35 juta pekerja yang masih mendapat gaji di bawah RM1,700.
“Saranan pemberian gaji selaras dengan kelayakan akademik, peranan kerja dan kemahiran ini untuk kebaikan syarikat juga sebab jika tak diberi gaji setimpal, akan berlaku kes seperti aliran keluar bakat kita dan sebagainya. Kita (majikan) juga tidak dapat bakat dan tenaga kerja yang baik,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Wilayah Timur di Merang, di sini hari ini.
Pada pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari depan dan 1 Ogos 2025 kepada majikan atau usahawan kecil yang mempunyai lima orang pekerja ke bawah.
Sim berkata, tempoh penyelarasan gaji yang diberikan itu munasabah dan mencukupi serta majikan diingatkan mematuhi arahan ditetapkan.
Beliau juga menggesa mana-mana pihak terutama pekerja yang mengetahui terdapat pelanggaran undang-undang berkaitan perburuhan termasuk gaji minimum supaya melaporkan kepada Kementerian Sumber Manusia terutama Jabatan Tenaga Kerja supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Kenaikan kadar gaji minimum bukan mahu membebankan majikan, namun ia antara lain memberikan pekerja kuasa membeli yang lebih tinggi, seterusnya membawa limpahan ekonomi kepada usahawan dan syarikat kecil setempat,” katanya.
Mengulas Pusat Rehabilitasi PERKESO Wilayah Timur yang dijangka siap pada 2027, beliau berkata, ia selaras aspirasi 3K kementerian itu yang merangkumi pengukuhan kebajikan pekerja; peningkatan kemahiran dan keberhasilan kerja.
Pusat rehabilitasi dengan kos pembinaan RM571.8 juta itu mampu memuatkan 315 katil bagi menampung 400 hingga 500 pesakit setiap hari dan antara perkhidmatan rawatan ditawarkan ialah rehabilitasi perubatan membabitkan Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics serta rawatan terapi inovatif seperti Thalassotheraphy iaitu terapi menggunakan elemen air laut.
“Rawatan berasaskan kaedah hippotheraphy yang menggunakan kuda sebagai instrumen untuk membantu pemulihan fizikal, mental dan kognitif pesakit juga disediakan,” katanya.
Sim berkata, pengwujudan pusat rehabilitasi ketiga selepas Melaka dan Perak itu juga bertepatan memandangkan berdasarkan rekod, 15 hingga 20 peratus jumlah kes diterima di pusat rehabilitasi sedia ada ketika ini adalah dari Zon Pantai Timur. – BERNAMA