Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Gajah Borneo bukan gajah ‘Pygmy’ yang wujud pada zaman ais
  • SEMASA

Gajah Borneo bukan gajah ‘Pygmy’ yang wujud pada zaman ais

Utusan Sarawak 8 hours ago
SEKUMPULAN gajah Borneo yang mencari makanan di tebing Sungai Kinabatangan berhampiran Kampung Bilit. Foto Bernama

KINABATANGAN: Gajah Borneo yang majoritinya terdapat di Sabah tiada kaitan dengan spesies gajah Pygmy yang dipercayai wujud pada zaman ais, malah spesies gajah kecil berkenaan tidak pernah wujud di negeri ini, kata pakar pemuliharaan gajah Malaysia Dr Nurzhafarina Othman.

Justeru, Pensyarah Kanan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata menggunakan istilah “Pygmy” dalam merujuk kepada gajah Borneo adalah tidak tepat dan memohon orang ramai supaya tidak terkeliru dengan istilah berkenaan.

Beliau berkata istilah Pygmy sering dikaitkan dengan gajah Borneo itu diperkenalkan pada 2003 melalui penerbitan saintifik kemungkinan untuk menarik perhatian umum, namun istilah berkenaan perlu diperbetulkan bagi mengelakkan salah faham.

“Perkataan Pygmy digunakan kerana gajah Borneo ialah gajah yang terkecil berbanding gajah spesies lain, namun tidak sekecil gajah Pygmy yang hanya setinggi pinggang manusia dan telah pupus ribuan tahun dahulu.

“Orang ramai mungkin menganggap gajah di Sabah ini sebagai Pygmy kerana saiznya yang kecil, namun sebenarnya ia spesies gajah Borneo yang tersendiri, gajah Borneo ini spesies unik di Sabah,” katanya kepada Bernama. 

Gajah Borneo atau Elephas maximus borneensis diklasifikasikan sebagai “terancam” dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) pada Jun tahun lepas disebabkan populasi kecil dan berkurangan, terdapat kira-kira 250 ekor gajah spesies itu di Kinabatangan di sini.

Nurzhafarina ialah penerima Anugerah Whitley 2025 atau dikenali sebagai Green Oscar oleh Whitley Fund for Nature (WFN) berpangkalan di United Kingdom, sebagai pengiktirafan terhadap usaha gigihnya melindungi spesies gajah Borneo.

Beliau berkata dari segi genetik, gajah Borneo mempunyai pelbagai ciri unik berbanding gajah lain dan mempunyai ciri fizikal tersendiri seperti belalai lebih pendek dan ekor yang lebih panjang.

“Kajian saintifik telah membuktikan gajah Borneo adalah spesies tersendiri yang perlu dipelihara dan dilindungi. Gajah Borneo mempunyai keunikannya tersendiri dan kita perlu berbangga dengan spesies ini.

“Gajah Pygmy telah lama pupus, tetapi gajah Borneo masih ada, jadi janganlah kita biarkan khazanah kita ini pula pupus. Sama-sama kita jaga,” katanya.

Mengulas kajian terkini mengenai spesies itu, Nurzhafarina berkata pemakanan gajah Borneo menjadi fokus kajian pelbagai pihak termasuk pihaknya untuk memahami tabiat pemakanan dalam usaha menangani konflik manusia dengan gajah di Sabah.

Beliau berkata kajian berkenaan penting untuk benar-benar memastikan sama ada konflik itu disebabkan gajah memasuki kawasan manusia kerana kekurangan makanan di habitat semula jadi, maka membolehkan langkah sewajarnya dapat diambil bagi mendepani situasi berkenaan.

“Kami ingin mengetahui sama ada dengan menyediakan makanan kepada gajah dapat mengurangkan konflik. Kita perlu memahami apa yang gajah makan, apa yang tidak disukai dan berapa banyak makanan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata beberapa usaha sedang dijalankan termasuk penanaman pokok Napier dan pembangunan koridor makanan di Kinabatangan di sini, namun keberkesanannya masih memerlukan kajian lanjut untuk membuat rumusan yang tepat.

“Ini satu percubaan awal dalam skala sedemikian. Walaupun kita masih jauh daripada membuat rumusan sama ada usaha ini dapat mengelakkan konflik, ia permulaan yang baik dan kita perlu terus memantau keberkesanannya,” katanya.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: 572 rekod kes dera kanak-kanak di Sarawak, masyarakat diminta lebih peka
Next: DAP gagal tunai janji, kos sara hidup kian menekan rakyat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.