GAGAL bertahan dengan baik selepas memiliki kelebihan satu gol adalah punca menyebabkan Sarawak United FC gagal meraih tiga mata penuh selepas hanya sekadar seri 1-1 menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II), malam semalam.
Ketua jurulatih Sarawak United, E Elavarasan berkata pasukannya mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi perlawanan itu, selepas berjaya mengekalkan satu gol sepanjang 80 minit perlawanan.
Namun kegagalan barisan pemainnya bertahan untuk memuktamadkan tiga mata terlerai apabila JDT II berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-84 sehingga tiupan wisel penamat dibunyikan, sekaligus meranapkan impian mereka bersaing dengan Negeri Sembilan FC untuk bergelar juara Liga Premier.
“Kita fokus untuk mendapatkan tiga mata. Bila kami dapat gol awal, kami sudah mula berhati-hati dan hanya menyerang apabila ada peluang.
“Dengan cara ini, biasanya kami akan mendapat satu lagi gol atau akan menamatkan perlawanan dengan keputusan 1-0.
“Tetapi di babak kedua JDTII telah mula membuat hantaran lintang bertalu-talu, walaupun kami ada peluang untuk menjaringkan gol, tetapi keputusannya akhirnya seri,” kata Elavarasan selepas perlawanan tersebut malam semalam.
Elavarasan berkata biarpun memperolehi keputusan seri 1-1 pada malam itu, namun beliau tetap berpuas hati dengan corak permainan pemainnya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan Sarawak United mahu menumpukan persiapan untuk menghadapi aksi Kumpulan A saingan Piala Malaysia yang akan menyingkap tirainya hujung minggu ini.
Elavarasan menjelaskan saingan Piala Malaysia berbeza berbanding saingan liga dan ia lebih sukar memandangkan tiga pasukan dari Liga Super memiliki kelebihan masing-masing, walaupun pemain Sarawak United pernah beraksi di pentas liga elit domestik tapi mereka harus meningkatkan lagi usaha untuk bersaing.
“Saya akui kami akan berdepan pasukan hebat terutama Penang, KL City dan Sri Pahang tapi kami jangkakan Penang merupakan pencabar utama berdasarkan kredibiliti pasukan itu dalam saingan Liga Super malah dua lagi pasukan juga boleh mengundang kesukaran buat kami.
“Apapun tiga pasukan dalam Kumpulan A, semuanya berpengalaman dan ada kelebihan tersendiri dan kami yang baharu dalam kancah Piala Malaysia selepas agak lama Sarawak tidak beraksi dan ia penting kerana beri pendekatan kepada kami yang akan beraksi di Liga Super musim depan sama ada mampu menyaingi pasukan dari liga elit,” ujarnya.
Apapun, Elavarasan mengakui terpaksa melupakan khidmat penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Amer Saidin dan Badrul Affendy yang digantung beberapa perlawanan namun menganggap ia lumrah dalam permainan bola sepak dan perlu membuat persiapan lebih rapi untuk berdepan pasukan seperti Penang FC, KL City FC dan Sri Pahang FC.
Terdahulu, pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Sarawak United FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Ucha Agba seawal minit keempat namun JDT II bangkit menyamakan jaringan ketika aksi berbaki enam minit untuk ditamatkan oleh pemain gantian, Stuart Wilkin.
Oleh ADI SAFARMAN