
PETRA JAYA: Kesinambungan kepimpinan antara pemimpin lama dan baharu dalam Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memainkan peranan penting dalam memastikan ia terus kekal relevan.
Ketua Pergerakan Wanita PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata pemimpin baharu perlu memahami sejarah parti keramat itu manakala pemimpin lama berperanan sebagai mentor yang akan membimbing generasi baharu.
”Pada konvensyen kali ini kita dapat melihat gabungan antara pemimpin lama dan baharu dan ini adalah satu gabungan yang baik kerana pemimpin lama dapat menjadi mentor kepada yang baharu dalam menerajui PBB.
”Sebagai pemimpin dan ahli parti, kita harus memastikan PBB terus kuat, stabil, dan bersatu agar kekal menjadi nadi kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
”Sehubungan itu, pemahaman terhadap sejarah dan asas perjuangan parti ini adalah kunci dalam memastikan kesinambungan kepimpinan dan kekuatan PBB,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya pergerakan wanita juga akan terus memastikan sentiasa wujudnya perpaduan yang harmoni antara pemimpin lama dan baharu sekali gus menekankan kepentingan kerjasama yang erat serta representasi yang menyeluruh.
”Kerjasama yang erat ini juga bukan hanya dari segi gabungan pemimpin baharu dan lama, tetapi juga dari sudut keterangkuman antara sayap Bumiputera dan Pesaka.
“Sinergi keterangkuman juga kita pastikan ada representasi daripada seluruh bahagian Sarawak,” tambahnya.
Oleh Rynna Sha’erra