
KUCHING: Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil-Matlamat Pembangunan Mampan (Gabungan CSO-SDG) menyifatkan Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’ sebagai langkah positif ke arah ekonomi yang lebih inklusif, hijau dan berasaskan reformasi.
Pertubuhan itu berharap agar tumpuan lebih besar diberikan kepada isu perumahan generasi muda, penciptaan pekerjaan, pembangunan kemahiran hidup serta pengukuran impak dasar secara telus.
Gabungan itu memuji komitmen kerajaan memperkukuh perlindungan sosial, memperkenalkan inisiatif pembiayaan hijau, serta mempertingkat tadbir urus berintegriti menerusi pengenalan Akta Perolehan Kerajaan, Akta Syarikat Berkaitan Kerajaan (SOE) dan Akta Kebebasan Maklumat.
“Belanjawan ini menunjukkan hala tuju yang seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip 5P – People, Planet, Prosperity, Peace dan Partnership,” kata Pengerusi Bersama Gabungan CSO–SDG Sarawak, Gabriel Hii.
Sarawak turut dijangka menerima manfaat besar menerusi peruntukan pembangunan melebihi RM6 bilion, geran khas MA63 sebanyak RM600 juta, pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau 5.0 bernilai RM1 bilion, serta pelaksanaan cukai karbon bermula tahun hadapan.
Gabungan itu dalam masa sama menggesa agar potensi biodiversiti Sarawak yang kaya, dengan lebih 15 ekoregion unik merangkumi hutan hujan tropika, paya gambut dan habitat marin, diangkat sebagai pemacu utama ekonomi berasaskan alam.
“Biodiversiti Sarawak bukan sekadar alam semula jadi yang perlu dilindungi, tetapi modal ekonomi hijau negeri. Dengan pendekatan yang betul, ia boleh menjadi pemangkin pelancongan lestari, agroekologi dan inovasi teknologi,” tegas Gabriel.
Sarawak CSO–SDG Alliance turut mengiktiraf pelaksanaan Kawasan Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV) di negeri ini oleh sektor awam dan swasta, termasuk Jabatan Hutan Sarawak serta Sarawak Oil Palms Berhad (SOPB).
Namun, pelaksanaannya perlu diperluas ke peringkat komuniti agar rakyat tempatan turut menjadi penjaga serta penerima manfaat hasil pemuliharaan alam sekitar.
Bagi aspek sosial, gabungan itu mencadangkan pembinaan perumahan generasi muda berkonsepkan biofilik komuniti reka bentuk hijau dengan kemudahan sosial yang mendorong interaksi dan kesejahteraan, seperti model HDB di Singapura.
Mereka turut mencadangkan penubuhan Dana Peralihan Hijau dan Adil (Green & Just Transition Fund) bagi menghubungkan pelaburan karbon dan biodiversiti dengan penciptaan pekerjaan tempatan.
Bagi memastikan manfaat belanjawan benar-benar dirasai rakyat, gabungan itu menggesa pelaksanaan kerangka pengukuran impak nasional yang menilai program kerajaan berdasarkan hasil (outcome-based budgeting), data mengikut wilayah dan kumpulan umur, serta penjajaran dengan penunjuk SDG dan metrik ESG.
“Kemajuan sebenar tidak boleh diukur melalui angka peruntukan sahaja.
“Ia mesti dinilai berdasarkan sama ada kehidupan rakyat Sarawak benar-benar bertambah baik dengan rumah yang selamat, pekerjaan bermaruah, kesihatan terjamin dan peluang yang adil,” tambah Gabriel.
Sarawak CSO–SDG Alliance menegaskan bahawa Belanjawan 2026 merupakan langkah penting ke arah kemampanan, namun impaknya perlu diukur dan dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi.
“Sarawak mempunyai potensi luar biasa untuk menjadi peneraju ekonomi hijau rantau ini.
“Pembangunan masa depan mesti berpaksikan alam, memanfaatkan kekayaan biodiversiti melalui pelancongan, agroekologi dan teknologi hijau yang memberi manfaat kepada semua generasi,” katanya.