Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Fungsi sistem avionik dalam pesawat moden
  • KOLUMNIS

Fungsi sistem avionik dalam pesawat moden

Utusan Sarawak 7 hours ago

KECANGGIHAN pesawat moden kini menjadikan ia mustahil untuk diterbangkan tanpa sokongan sistem avionik. Kebergantungan ini bukan sekadar untuk memudahkan tugas juruterbang, malah ia telah menjadi syarat mandatori dalam aspek keselamatan udara global.

Peraturan penerbangan antarabangsa turut melarang pesawat yang menggunakan sistem fly-by-wire (FBW) untuk berlepas sekiranya sistem avionik dikesan gagal berfungsi semasa pemeriksaan prapenerbangan.

Namun, istilah avionik sebenarnya belum wujud ketika pesawat pertama kali berjaya terbang. Pada era itu, pesawat digerakkan sepenuhnya melalui sistem mekanikal yang sangat asas dan analog.

Struktur kawalannya hanya berasaskan rangkaian kabel, tuas dan takal yang memerlukan tenaga fizikal juruterbang untuk mengemudi.

Malah bagi tujuan navigasi, bacaan ketinggian pesawat dibuat dengan menggunakan altimeter mekanikal yang ringkas, manakala kedudukan arah pula ditentukan oleh kompas magnetik.

FUNGSI sistem avionik dalam pesawat moden sangat luas dan kritikal

Selebihnya, pertimbangan laluan bergantung kepada keadaan cuaca yang hanya dapat dinilai melalui penglihatan juruterbang.

Apabila pesawat dibina untuk terbang lebih jauh terutama semasa menghadapi konflik Perang Dunia Pertama, radio komunikasi mula dipasang bagi membolehkan maklumat dihantar secara dua hala.

Pada ketika itu, peralatan radio bersaiz besar dan berat, malah ia masih dianggap sebagai ‘aksesori’ yang berfungsi sebagai peralatan tambahan, bukannya komponen teras pesawat.

Di sebalik kemusnahan yang terjadi akibat peperangan, teknologi penerbangan ironinya mendapat lonjakan kemajuan. Banyak teknologi yang dibangunkan dalam pesawat tentera kemudiannya disesuaikan untuk kegunaan awam.

Antara inovasi terpenting ialah sistem VHF Omnidirectional Range (VOR), iaitu sistem navigasi radio jarak dekat yang membolehkan pesawat menentukan arah (bearing) relatif kepada stesen pemancar di darat.

Teknologi ini dapat meningkatkan keselamatan operasi penerbangan kerana ia membolehkan navigasi dilakukan dengan lebih tepat tanpa perlu bergantung kepada mercu tanda visual di permukaan bumi, sekali gus membolehkan pesawat terbang dalam keadaan cuaca buruk atau pada waktu malam dengan lebih yakin.

Penggunaan peralatan radio atau intrumen elektrik pada waktu ini masih dirujuk sebagai sistem berasingan, belum ada istilah yang benar-benar menggambarkan kesepaduan antara elektronik dan pesawat secara keseluruhan.

‘Avionik’ mula dipopularkan sekitar akhir 1940-an oleh Philip J. Klass seorang editor teknikal di majalah Aviation Week & Space Technology. Perkataan avionik ialah singkatan dan gabungan daripada perkataan aviation dan electronics.

Istilah ini memudahkan industri merujuk keseluruhan sistem elektronik pesawat sebagai satu disiplin yang bersepadu, bukan lagi sekadar peralatan radio atau instrumen elektrik yang terpisah.

Apabila teknologi mikro pemproses menjadi peranti yang cukup kecil dan berkuasa untuk digunakan dalam pesawat, industri penerbangan memasuki fasa transformasi besar.

Menjelang 1970-an, sistem digital mula mengantikan instrumen analog bertolok bulat sekali gus menjadikan sistem elektronik disepadukan secara menyeluruh dalam reka bentuk pesawat.

Evolusi ini menampilkan paparan yang lebih kemas dan jelas melalui skrin digital Paparan Kristal Cecair (LCD), apabila semua maklumat kritikal disusun dengan teratur agar mudah dibaca oleh juruterbang.

Seiring dengan itu, Glass Cockpit diperkenalkan sebagai susun atur kokpit moden yang menghimpunkan data penerbangan, navigasi dan enjin dalam satu set paparan digital yang bersih dan tersusun.

Fungsi sistem avionik dalam pesawat moden sangat luas dan kritikal, malah menjadi komponen utama yang memudahkan juruterbang mengendalikan pesawat bagi tujuan navigasi, komunikasi, pemantauan dan kawalan.

Sistem avionik membolehkan navigasi dilakukan dengan tepat apabila ia menggabungkan satelit Sistem Penentududukan Global (GPS) dengan sistem inersia yang terdapat di dalam pesawat.

Hal ini dapat membantu juruterbang mengenal pasti laluan penerbangan dengan lebih stabil, selain mempercepatkan proses membuat keputusan apabila berdepan cuaca tidak menentu atau berisiko.

Integrasi ini juga memastikan pesawat kekal pada kedudukan yang betul walaupun isyarat satelit terganggu.

Kelebihan sistem avionik membolehkan komunikasi antara pesawat dan rangkaian trafik udara global berlaku secara lancar dan berterusan.

Sistem ini memainkan peranan penting dalam mengekalkan jarak selamat antara pesawat serta menyokong pengurusan ruang udara yang efisien.

Juruterbang juga dapat mengekalkan komunikasi berterusan dengan pegawai kawalan trafik udara melalui radio Frekuensi Sangat Tinggi (VHF), sistem komunikasi data dan sambungan satelit.

Saluran ini membolehkan mereka menerima arahan operasi, maklumat cuaca terkini dan perubahan laluan penerbangan dengan pantas dan tepat, sekali gus memudahkan keputusan dalam situasi dinamik di ruang udara.

Dalam pesawat moden, komunikasi tidak lagi bergantung kepada suara semata-mata. Pertukaran data automatik seperti kedudukan, kelajuan dan altitud kini berlaku secara masa nyata.

Keupayaan ini membolehkan pergerakan ratusan pesawat di ruang udara yang sama diselaraskan dengan selamat, mengurangkan risiko perlanggaran dan meningkatkan kecekapan aliran trafik udara, terutamanya di kawasan yang sibuk.

Fungsi pemantauan sistem avionik seakan bertindak sebagai ‘doktor’ peribadi pesawat yang menilai kesihatan sistem dengan memeriksa suhu enjin, tekanan hidraulik, getaran, penggunaan bahan api dan ratusan parameter lain secara masa nyata.

Data ini diproses oleh komputer avionik dan dipaparkan sebagai amaran, graf atau mesej diagnostik bagi membolehkan keabnormalan dikesan lebih awal sebelum menjadi kegagalan serius.

Pemantauan berterusan membolehkan juruterbang dan jurutera penyelenggaraan menilai tahap keselamatan operasi secara masa nyata.

Berdasarkan maklumat yang diterima, mereka dapat membuat keputusan yang tepat sama ada untuk meneruskan penerbangan, melaraskan laluan atau menjadualkan penyelenggaraan pencegahan.

Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan, malah memperkukuh kebolehpercayaan sistem dan kecekapan operasi pesawat secara keseluruhan.

Sistem kawalan seperti pandu auto memainkan peranan penting dalam memastikan pesawat kekal pada laluan, ketinggian dan kelajuan yang diprogramkan dengan tahap kestabilan dan ketepatan yang sukar dicapai secara manual untuk tempoh yang panjang.

Ia menggunakan data daripada pelbagai penderia avionik seperti giroskop, sistem inersia dan navigasi satelit untuk membuat pelarasan berterusan terhadap permukaan kawalan pesawat.

Dengan ada pandu auto, beban kerja fizikal dan mental juruterbang dapat dikurangkan, membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada pemantauan penerbangan, komunikasi dan membuat keputusan kritikal, khususnya dalam penerbangan jarak jauh atau keadaan cuaca yang mencabar.

Di sebalik kecanggihan sistem avionik dalam pesawat moden, jurutera penyelenggaraan avionik memainkan peranan penting dalam memastikan setiap fungsi beroperasi dengan selamat dan boleh dipercayai.

Tugas mereka merangkumi penyelenggaraan, pengujian, diagnosis dan pengesahan sistem elektrik serta elektronik pesawat termasuk navigasi, komunikasi, paparan kokpit, radar dan kawalan penerbangan.

Pesawat perlu mendapat pelepasan untuk servis daripada jurutera avionik selepas kerja penyelenggaraan selesai, bagi memastikan semua sistem kritikal berfungsi dengan betul dan memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Tanpa pengesahan ini, pesawat tidak dibenarkan beroperasi kerana sebarang kegagalan dalam sistem avionik boleh menjejaskan keselamatan penerbangan secara langsung.

Kerjaya sebagai jurutera penyelenggaraan avionik bukan sahaja menawarkan gaji yang kompetitif, malah menjanjikan prospek kerjaya yang stabil dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Calon biasanya memulakan laluan ini dengan mengikuti program pengajian dalam bidang penyelenggaraan pesawat atau kejuruteraan avionik, diikuti latihan praktikal dan pengalaman kerja dalam persekitaran penyelenggaraan yang diiktiraf.

BERMULA September 2026, i-CATS dijangka melancarkan program baharu dalam bidang Aircraft Maintenance (Avionics) sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan ekosistem aeroangkasa negeri.

Bagi membolehkan mereka mengesahkan bahawa sistem avionik pesawat berada dalam keadaan selamat untuk diterbangkan, calon perlu memperoleh lesen kategori B2 yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Di Sarawak, perkembangan pendidikan penerbangan kini semakin rancak dengan penawaran program penyelenggaraan pesawat oleh institusi seperti i-CATS University College.

Bermula September 2026, i-CATS dijangka melancarkan program baharu dalam bidang Aircraft Maintenance (Avionics) sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan ekosistem aeroangkasa negeri.

Program ini bukan sahaja menyediakan asas teori dan latihan teknikal, malah membuka laluan lebih tersusun kepada pelajar tempatan yang berminat untuk menceburi bidang avionik secara profesional.

Secara tidak langsung, inisiatif ini menyokong pembangunan tenaga mahir tempatan bagi memenuhi keperluan industri penyelenggaraan pesawat yang semakin berkembang di rantau ini.

Pesawat terbang semakin hari semakin canggih. Oleh itu, sistem avionik juga menjadi semakin kompleks dan memerlukan tahap kepakaran yang tinggi untuk dikendalikan.

Kebergantungan terhadap sistem elektronik ini menjadikan peranan jurutera penyelenggaraan avionik semakin penting, bukan sahaja untuk memastikan fungsi teknikal berjalan lancar tetapi juga untuk menjamin keselamatan dan kebolehpercayaan operasi penerbangan.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Pilihan raya Sarawak tunggu pengesahan SPR 17 kerusi DUN baharu?

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.