
SESEKALI ketika memandang ke langit pada waktu malam, mungkin ternampak cahaya lampu kapal terbang yang sayup-sayup meluncur pantas sebelum hilang di sebalik kegelapan.
Kerlipan cahaya itu tampak cantik, namun ia bukanlah untuk hiasan. Setiap pesawat terbang wajib dipasangkan beberapa set lampu yang diletakkan di tempat tertentu bagi tujuan khusus.
Lampu asas yang dipasang ialah lampu navigasi yang terdiri daripada tiga warna iaitu hijau, merah dan putih. Lampu warna hijau dipasang di sebelah hujung sayap kanan manakala merah di sebelah kiri dan putih di bahagian belakang di ekor pesawat.
Ketiga-tiga lampu ini berfungsi untuk menunjukkan arah dan orientasi pesawat secara visual yang membolehkan pengenalpastian kedudukan relatif tanpa memerlukan sebarang komunikasi radio.
Contohnya, jika pemerhati hanya nampak warna hijau dan putih, itu bermakna pesawat sedang meluncur ke sebelah kanan pemerhati dan sebaliknya jika warna merah kelihatan.
Namun sekiranya ketika sedang berada di udara, jika cahaya putih kelihatan dan tidak berubah, ia menunjukkan pemerhati sedang menghampiri pesawat lain dari belakang.
Dalam keadaan ini, pesawat pemerhati yang datang dari belakang perlu mengelak dan memintas dari sebelah kanan secara selamat, sambil mengekalkan jarak yang selamat.

Pesawat di hadapan pula perlu kekal di laluan dan kelajuan asal kerana ia mempunyai keutamaan.
Seterusnya apabila cahaya merah dan hijau kelihatan serentak tanpa kehadiran cahaya putih, itu menunjukkan kedua-dua pesawat sedang berhadapan secara langsung atau berada pada laluan yang akan bersilang.
Dalam keadaan ini, tindakan yang perlu diambil adalah mengelak dan bukan memintas kerana terdapat risiko perlanggaran.
Tanggungjawab untuk mengelak terletak pada kedua-dua juruterbang. Mereka perlu segera melaksanakan tindakan penjarakan, sama ada mengikut arahan dan vektor yang diberikan oleh Kawalan Trafik Udara (ATC) atau berdasarkan peraturan penerbangan visual dan instrumen jika berada di luar ruang udara terkawal.
Langkah ini penting untuk memastikan kedua-dua pesawat dapat melepasi satu sama lain dengan jarak menegak atau mendatar yang selamat, sekali gus mengelakkan sebarang insiden dalam lalu lintas udara.
Selain lampu navigasi standard, pesawat juga dilengkapi dengan dua jenis lampu amaran berintensiti tinggi yang memainkan peranan penting dalam memastikan kebolehlihatan maksimum dan menyampaikan amaran kritikal, baik di darat mahupun di udara.

Lampu suar atau beacon biasanya dipasang di atas dan di bawah fiuslaj bagi kebanyakan pesawat tetapi ada sesetengah model ia dipasang di atas sirip ekor tegak.
Bagi helikopter, lampu suar lazimnya ditempatkan pada tiang rotor dan bahagian bawah fiuslaj.
Apabila lampu ini diaktifkan, cahaya merahnya akan berkelip secara berkala sebagai isyarat amaran awal kepada semua individu yang berada di apron dan sekitar pesawat bahawa enjin pesawat bakal dihidupkan atau sedang beroperasi.
Keadaan ini boleh mendatangkan risiko mekanikal serius seperti kecederaan akibat daya sedutan enjin yang kuat, kerosakan objek asing yang masuk ke dalam corong turbin serta bahaya hentaman tekanan udara panas dan ekzos panas.
Oleh yang demikian, lampu ini mesti dinyalakan sebelum enjin mula berputar dan kekal menyala sepanjang tempoh enjin beroperasi hingga dimatikan.
Hal ini membolehkan kru darat, juruteknik dan kenderaan sokongan dapat mengekalkan jarak selamat, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan di darat.
Sementara itu, lampu strob pula menghasilkan kilatan cahaya putih yang sangat terang. Ia biasanya dipasang di hujung sayap dan kadangkala di bahagian ekor pesawat.

Fungsi utamanya adalah untuk memastikan pesawat dapat dilihat dari jarak jauh, terutamanya oleh juruterbang pesawat lain, bagi mengelakkan pertembungan di udara.
Lampu strob biasanya dihidupkan ketika pesawat memasuki landasan dan sepanjang penerbangan dalam keadaan cuaca baik. Namun, dalam situasi penglihatan terhad seperti kabus tebal atau hujan lebat, juruterbang mungkin mematikannya sementara waktu kerana kilatan cahaya yang memantul boleh mengganggu penglihatan kru lain.
Selain itu, set lampu lain yang dipasang ialah lampu pendaratan. Lampu ini biasanya dipasang pada fiuslaj, di pangkal sayap atau pada alat pendaratan, bergantung kepada jenis dan reka bentuk pesawat.
Fungsinya adalah untuk menerangi kawasan hadapan semasa pesawat berlepas dan mendarat, sekali gus membantu juruterbang menilai jajaran landasan serta anggaran jarak dengan lebih tepat.
Walaupun dalam penerbangan waktu siang, lampu pendaratan adakalanya dihidupkan apabila pesawat berada di bawah ketinggian tertentu iaitu sekitar 3,000 meter untuk meningkatkan kebolehlihatan pesawat kepada pengguna ruang udara yang lain bagi mengurangkan risiko pertembungan dan menghalang sebarang cubaan pintasan yang tidak sesuai, terutamanya di kawasan pendekatan akhir sebelum mendarat.
Setelah pesawat mendarat dan masuk ke laluan ‘taxi’, juruterbang akan menggunakan lampu ‘taxi’ bagi menggantikan lampu pendaratan kerana ia memberikan pencahayaan sederhana ke hadapan semasa pesawat bergerak di laluan ke apron terminal.
Lampu ini lazimnya dipasang pada alat pendaratan utama dan diselaraskan agar tidak mengganggu dan menyilaukan juruterbang pesawat lain.
Lampu ini berkesan membantu juruterbang membaca tanda laluan dan mengikuti garis laluan serta mengenal pasti halangan yang mungkin berada di permukaan landasan.
Apabila pesawat perlu membelok keluar dari landasan atau berada di persimpangan yang sempit, lampu belok landasan (Runway Turnoff Lights) pula dipasang supaya dapat memancarkan cahaya ke sisi kiri dan kanan bagi membantu juruterbang melihat dengan lebih jelas.
Selain lampu navigasi dan operasi, pesawat turut dilengkapi dengan lampu yang dipasang pada sirip ekor tegak bagi menyerlahkan tanda pengenalan syarikat penerbangan.
Tujuan pemasangan ini adalah untuk memudahkan pengecaman visual pesawat yang tiba pada waktu malam oleh pengendali darat dan para penumpang.
Lampu-lampu tambahan dalam set pemeriksaan sayap dipasang berhampiran fiuslaj, berdekatan pangkal sayap digunakan untuk menyinari permukaan sayap, flap dan bahagian tepi hadapan sayap.
Cahaya lampu ini membolehkan jurutera atau juruteknik penyelenggaraan memeriksa sekiranya ada pembentukan ais, kebocoran bahan api atau bendalir pelincir serta mengenal pasti kerosakan kecil pada bahagian berkenaan pada waktu malam.
Perkara ini penting kerana jika ada perubahan kecil pada bentuk tepi hadapan sayap termasuk pembentukan ais yang nipis, keadaan ini boleh menjejaskan ciri aerodinamik secara serius.
Dengan pencahayaan yang mencukupi, barulah tindakan berkaitan seperti penyahbekuan dan pembaikan kecil dapat dibuat dengan lebih yakin dan tepat.
Sistem pencahayaan pesawat turut mengambil kira aspek keselesaan dan keselamatan penumpang.
Walaupun lampu luaran direka untuk tujuan keselamatan penerbangan, kru kabin lazimnya akan menurunkan bidai tingkap atau menasihati penumpang yang duduk berhampiran sayap agar mengalih pandangan bagi mengelakkan silau daripada cahaya strob yang sangat terang semasa penerbangan.
Semasa fasa berlepas dan pendaratan, bidai tingkap perlu dinaikkan bagi membolehkan kru kabin dan penumpang memerhati keadaan luar dengan jelas sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan.
Pada masa sama, lampu kabin akan dimalapkan untuk membantu penyesuaian penglihatan terhadap suasana gelap di luar pesawat.
Gabungan langkah ini merupakan sebahagian daripada prosedur keselamatan penting yang mempercepatkan tindak balas sekiranya pengosongan kecemasan diperlukan kerana tanda keluar dan jalur pandu bercahaya akan menjadi lebih jelas dan mudah dikenalpasti.
Oleh itu, apabila kita melihat kapal terbang pada waktu malam, setiap kerlipan cahaya itu, menyerlahkan keunggulan dan kehebatan pembinaan pesawat terbang untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang dan juga kru penerbangan.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.