
JULAU: Fun Run Julau 2025 akan diadakan pada 12 Oktober ini bermula 5.30 pagi di padang Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) dengan menawarkan pelbagai kategori serta hadiah menarik.
Ketua Polis Daerah Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah berkata, program anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau bersama Pusat Khidmat Parlimen Julau tersebut bertujuan menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sihat dan bermanfaat.
“Tiga kategori ditawarkan iaitu kategori larian 3 kilometer (km) dengan yuran penyertaan RM25, 10km Lelaki Terbuka dan Wanita Terbuka dengan yuran RM50, serta 15km Terbuka Lelaki dan Terbuka Perempuan berumur 16 hingga 18 tahun dengan yuran RM15 berserta surat pengesahan sekolah daripada pengetua atau Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.
“Bagi kategori 3km, semua peserta akan menerima T-shirt, bib, sijil dan pingat sebagai tanda penyertaan.
“Hadiah bagi kategori 10km ialah wang tunai RM1,000 untuk juara, RM500 untuk naib juara dan RM300 untuk tempat ketiga, manakala kategori 15km pelajar menawarkan hadiah utama iaitu sebuah komputer riba, manakala naib juara dan tempat ketiga akan menerima tablet,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pendaftaran boleh dibuat melalui kod QR yang disediakan di infografik dan tarikh tutup penyertaan ditetapkan adalah pada 26 September 2025.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Kevin di talian 013-8326927, Oscar (013-8864372), Jennifer (013-9613824) atau Angela (014-6887828).
Oleh Earl Anek