
KUCHING: Sarawak melakar sejarah sebagai negeri pertama di rantau ini yang menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada rakyatnya apabila Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) dilaksanakan mulai 2026.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa, malah memastikan anak Sarawak yang berkelayakan tidak lagi terhalang daripada melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi akibat kekangan kewangan.
Menurut beliau, walaupun Sarawak kaya dengan sumber daya alam, nilai tambah terhadap sumber berkenaan tidak dapat dimaksimumkan tanpa sumber daya manusia berkemahiran tinggi.
“Sarawak mempunyai sumber asli yang banyak, namun tanpa modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran, kita tidak mampu memanfaatkan sepenuhnya kekayaan tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran FTES di Hotel dan Pusat Konvensyen Raia, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, peralihan Sarawak ke arah ekonomi moden dan tenaga hijau, termasuk hidrogen, memerlukan kepakaran dalam bidang sains dan teknologi yang perlu diterajui oleh anak Sarawak sendiri.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM250 juta bagi pelaksanaan FTES pada 2026, dengan skim itu akan dilaksanakan secara mampan dan berterusan pada setiap tahun.
“Kerajaan negeri tidak mahu ibu bapa terus terbeban dengan kos pendidikan anak-anak di peringkat pengajian tinggi. Ibu bapa tak payah susah dengan anak. Biarlah kami yang bersusah payah mencari dana demi masa depan Sarawak,” katanya.
Bagi fasa awal pelaksanaan, seramai 4,693 pelajar anak Sarawak dijangka memulakan pengajian secara percuma di lima institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri pada 2026.
Skim berkenaan melibatkan 64 kursus dalam bidang strategik termasuk sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), robotik, keselamatan siber, kewangan, undang-undang serta perubatan, dengan jumlah penyertaan dijangka meningkat pada tahun-tahun berikutnya.
Menurut beliau, FTES merupakan langkah awal ke arah pembentukan masyarakat Sarawak yang inklusif, berpengetahuan tinggi dan berdaya saing, sekali gus meletakkan negeri ini pada kedudukan lebih kukuh di peringkat serantau.
Oleh Shahrul Qaizat