DARO: Pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan setiap anak Sarawak yang berkelayakan berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi tanpa dibebani kekangan kewangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, pelaksanaan inisiatif di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu mencerminkan dasar Kerajaan Sarawak yang meletakkan pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang bagi pembangunan Sarawak.

“Dengan adanya FTES, pelajar yang memenuhi syarat berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa perlu menanggung yuran pengajian,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Ekspo Pendidikan FTES Yayasan Sarawak 2026 Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro di Dewan Masyarakat Daro.
Dr Safiee berkata, pelaksanaan dasar pendidikan tinggi percuma itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah turut meringankan beban ibu bapa dalam menampung kos pendidikan anak-anak.
“Saya menasihatkan pelajar agar memanfaatkan peluang yang disediakan dengan memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik serta membuat persediaan untuk menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan,” katanya.
Pada majlis sama, Dr Safiee menyampaikan sijil penghargaan dan hadiah daripada Yayasan Sarawak kepada 32 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 serta dua pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 daripada sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro.
Pengiktirafan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam menghargai kecemerlangan pelajar serta menggalakkan lebih ramai anak Sarawak mencapai kejayaan dalam bidang akademik.
Turut hadir Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, wakil Pengarah Yayasan Sarawak, Zulfiqar Fadhzely Randy, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan PPD Daro yang juga Wakil Pegawai Pendidikan Daerah Daro, Ayub Hassim dan Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos.
Oleh Akun Giman





