Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • ‘Friendly Contest’ dalam sejarah politik Sabah
  • KOLUMNIS

‘Friendly Contest’ dalam sejarah politik Sabah

Utusan Sarawak 4 hours ago

WACANA kali ini cuba menyeberangi sejarah di negeri jiran kita iaitu Sabah. Seperti yang kita tahu bahawa pada minggu ini pilihan raya negeri (PRN) sedang berlangsung. 

Beberapa fakta menarik berlaku dalam pilihan raya ini. PRN ke-17 ini menyaksikan sebanyak 73 kerusi dipertandingkan. 

Tiada kerusi menang tanpa bertanding dan seramai 596 calon dari pelbagai parti yang bertanding untuk merebut kerusi yang dipertandingkan. Keadaan ini satu kebiasaan berlaku di Sabah menjelang setiap pilihan raya.

Dalam hal ini apa yang menariknya parti-parti dalam Kerajaan Madani bertanding antara satu sama lain di beberapa kerusi. 

TUN Datu Mustapha Harun.

Hal ini berlaku antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabung Rakyat Sabah (GRS). Menariknya hanya PH yang menjalinkan kerjasama dengan BN dan GRS. 

Tetapi BN dan GRS bertembung sesama mereka dan tiada kerjasama dibuat.

Walaupun PH menjalin kerjasama dengan BN dan GRS tetapi PH tetap bertembung antara rakan mereka sendiri di beberapa kerusi. PH dan GRS bertembung di N06 Bandau dan N26 Moyog, manakala PH dan BN pula bertembung di N54 Karamunting. PH juga bertembung dengan GRS dan BN di N43 Kemabong.

Dalam hal ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pertembungan antara PH dengan BN dan GRS ini sebagai ‘Friendly Fight’. 

Hal yang sama juga disuarakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor apabila menyatakan pertembungan dengan PH dan GRS sebagai ‘Friendly Contest’.

Namun demikian sama ada ‘Friendly Fight’ mahupun ‘Friendly Contest’, ini bukan asing lagi dalam sejarah politik Sabah. Ia telah berakar sejak pilihan raya langsung negeri Sabah pertama lagi. 

Dalam pilihan raya tersebut Perikatan Sabah yang mengandungi Pertububuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Persatuan Cina Sabah (SCA) telah bertanding sesama sendiri.

Latar belakang

Dalam Perikatan Sabah dua parti yang mendominasi perikatan tersebut adalah USNO dan UPKO. Kedua-dua parti mempunyai kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan (DUN) Negeri Sabah. 

Sebelum pilihan raya pertama tersebut, USNO mendominasi kerusi di dalam DUN Sabah dengan 15 kerusi, manakala UPKO pula hanya mempunyai 12 kerusi.  SCA pula mempunyai sembilan kerusi.  Kongres India Sabah diberi satu kerusi lantikan.

DONALD Stephen.

Kerajaan pertama Sabah dipimpin oleh Donald Stephen dari UPKO, manakala Tun Datu Mustapha Harun dari USNO menjawat jawatan Yang Dipertua Negeri Sabah. 

Perjalanan kerajaan Perikatan Sabah pertama ini tidaklah mudah. Donald Stephen menghadapi masalah dengan Datu Mustapha. Masalah ini cuba diselesaikan dengan pelantikan Peter Lo sebagai Ketua Menteri baharu, manakala Donald Stephen dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah di peringkat pusat.

Hubungan antara USNO dan UPKO ini tidaklah begitu mesra selepas itu. Hal ini dibawa sehingga pilihan raya langsung pertama di Sabah pada 1967.  Di sini berlaku pertandingan antara parti-parti politik sesama sendiri dalam Perikatan Sabah.

Pertandingan

Menurut akhbar Sabah Times, apa yang berlaku ini lebih kepada hal ehwal keluarga daripada pertandingan sebenar. Dapat disimpulkan apa yang berlaku adalah satu perselisihan ahli keluarga Perikatan Sabah.

Pertembungan antara komponen Perikatan Sabah ini disebabkan mereka tidak dapat memutuskan tentang pembahagian kerusi. 

Perbincangan tentang pembahagian kerusi ini berlarutan sehingga ke tengah malam sebelum penamaan calon keesokan harinya. 

Hal ini diakui oleh V. Manickavasagam yang merupakan pengerusi untuk Jawatankuasa Perikatan Besar bagi Sarawak dan Sabah.

Dalam hal ini UPKO memohon untuk bertanding lebih kerusi daripada sebelumnya. Namun Pengerusi Perikatan Sabah iaitu Tun Mustapha mengatakan UPKO tidak menerima sokongan seperti 1963 dan tidak boleh menerima kerusi sebanyak itu. 

Dalam hal ini Tun Mustapha mengatakan pertandingan antara mereka itu bukan ‘friendly’.  Tun Mustapha mencurigai UPKO dan mencadangkan pembahagian 18 kerusi untuk USNO. 

Lapan kerusi pula untuk UPKO dan enam untuk SCA. Pembahagian ini tidak dipersetujui oleh UPKO, dan Donald Stephen meminta pembahagian itu adalah 13 USNO, 13 UPKO dan enam SCA. 

Donald Stephen sanggup berkompromi selepas itu dan meminta agar partinya menerima 11 kerusi.

Tetapi cadangan beliau ini ditolak oleh UPKO, dan mereka bersetuju untuk bertanding atas dasar ‘friendly contest’. Namun mereka membantah USNO dan SCA yang mahu menggunakan lambang Perikatan Sabah. 

Ini kerana ia seolah-olah menunjukkan UPKO nanti melawan Perikatan Sabah. Oleh itu mereka meminta agar semua parti bertanding atas dasar ‘friendly contest’ menggunakan lambang masing-masing. 

Pelawanan

Selepas mendengar bantahan mengenai pembahagian kerusi ini, USNO bersetuju dengan pembahagian 17 USNO, UPKO (9) SCA (6). Namun demikian sekali lagi UPKO membantah dengan pembahagian ini.

Oleh kerana tidak ada penyelesaian pada pembahagian kerusi ini, maka USNO dan UPKO meletak 25 calon masing-masing, manakala SCA meletak enam calon. Pada hari penamaan calon, USNO menang dua kerusi tanpa bertanding.

Walaupun pilihan raya ini dianggap sebagai ‘friendly contest’ tetapi akibat tidak ada persetujuan antara mereka dalam pembahagian kerusi menyebabkan berlakunya kempen yang menyerang satu sama lain.

Keputusan

Setelah pilihan raya berjalan selama hampir dua bulan, maka keputusannya diketahui pada 27 April 1967.  Keputusan ini menunjukkan USNO mendahului semua parti dengan memenangi 14 kerusi. 

UPKO pula menambah satu kerusi kepada 12 kerusi, SCA berkurangan kerusi dengan hanya mendapat lima kerusi. Satu kerusi pula dimenangi oleh calon Bebas. Tun Mustapha kemudiannya dipilih sebagai ketua menteri.

Sejarah ini menunjukkan bahawa telah ada konsep ‘friendly contest’ dalam pilihan raya Sabah. 

Namun ‘friendly contest’ ini menampakkan pertandingan sengit yang berbeza dengan pertandingan yang ada pada hari ini. Pada hari ini pertindihan hanya di beberapa kerusi berbanding yang berlaku pada 1967.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Penerbangan tanpa henti perlu, nadi utama mobiliti global

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.