
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik kekal dipilih sebagai Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Krian bagi sesi 2026-2029 dalam Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali parti itu yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan semangat kekeluargaan.
Mesyuarat yang diadakan di Dewan Masyarakat Sri Krian itu adalah bagi memilih barisan pimpinan baharu PDP Krian untuk penggal 2026-2029, sekali gus memperlihatkan kesepaduan ahli parti dalam memperkukuh organisasi di peringkat kawasan.
Menariknya, mesyuarat yang berjalan lancar itu menyaksikan semua jawatan dalam parti tidak dipertandingkan, sekali gus membuktikan keyakinan dan sokongan padu perwakilan terhadap kepimpinan sedia ada.
Selain Friday yang kekal menerajui PDP Krian, Kaunselor Pati Gimang turut dipilih sebagai Timbalan Pengerusi bagi sesi baharu, sekali gus melengkapkan barisan kepimpinan utama parti di kawasan tersebut.
Bagi sayap Pergerakan Pemuda pula, Reeza Nalang telah dipilih sebagai Ketua, manakala Ani Isek diberi kepercayaan untuk mengetuai Pergerakan Wanita PDP Krian.
Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali itu turut diserikan dengan kehadiran Senator Pele Peter Tinggom bersama isteri, selain berjaya menghimpunkan seramai 400 perwakilan dan pemerhati.
Kehadiran yang memberangsangkan itu jelas menggambarkan komitmen tinggi ahli-ahli PDP Krian dalam memastikan parti terus kukuh, bersatu dan relevan dalam membawa suara rakyat di kawasan berkenaan.
Pada majlis itu, ucapan tahniah dan penghargaan turut dizahirkan kepada semua yang telah dilantik ke jawatan masing-masing, selain merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh perwakilan dan pemerhati yang hadir serta menjayakan mesyuarat tersebut dengan penuh tertib dan semangat muafakat.
Oleh Adi Safarman