
SIMANGGANG: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis memuji kemampuan murid luar bandar menyampaikan penerangan projek mereka dalam Bahasa Inggeris dengan yakin dan jelas, khususnya dalam bidang inovasi serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau menyifatkan kemampuan tersebut sebagai satu petanda positif terhadap penguasaan ‘bahasa teknologi’ yang merupakan aspek penting dalam menghadapi cabaran pembangunan masa depan.
“Saya amat optimis bahawa murid dari sekolah pedalaman memiliki potensi yang setara dengan pelajar bandar, walaupun berdepan kekurangan kemudahan dan peralatan mengajar. Yang penting ialah usaha dan sokongan berterusan daripada semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penutupan Program Pameran Inovasi dan STEM Peringkat Bahagian Sri Aman yang berlangsung di Dewan Crossland, Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Lawrence Sabu, semalam.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memperluas akses pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat.
“Kerajaan Sarawak melalui inisiatif Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) menyediakan pengajian percuma di empat universiti milik negeri bagi memastikan anak-anak Sarawak dapat menumpukan sepenuhnya kepada pembelajaran tanpa terbeban isu kewangan,” jelasnya.
Menurut beliau, penguasaan ilmu STEM sangat penting dalam membentuk tenaga kerja berkemahiran tinggi dan memacu pembangunan berteraskan teknologi, selari dengan visi Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.
Program tersebut menyaksikan penyertaan pelbagai pihak termasuk institusi kewangan, koperasi, institusi latihan teknikal, sekolah rendah dan pertubuhan bukan kerajaan. Fokus utama adalah untuk memperlihatkan hasil inovasi pelajar sekolah dalam pelbagai bidang.
Antara pengisian menarik ialah ceramah daripada institusi teknikal seperti Sarawak Skills dan CENTEXS berkaitan peluang pengajian kemahiran bagi pelajar sekolah rendah sebagai laluan pendidikan alternatif.
Acara kemuncak program menyaksikan pelancaran roket air ciptaan murid SK Saint Lawrence Sabu dan demonstrasi dron melepasi halangan oleh murid SK Saint Luke Sri Aman yang mencuri tumpuan hadirin.
Turut hadir wakil Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman, Siti Aishah Wan Oya, Ketua Bahagian Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman, Inspektor Zurraidda Bujang, Temenggong Leonard Libau Anol dan Pemanca Denneil Saweng.
Oleh Adi Safarman