
MIRI: Penubuhan Pejabat Mini Forest One Stop Compliance Centre (FoSCC) di Tuyut menjadi model dan titik permulaan Jabatan Hutan Sarawak dalam usaha menaik taraf, membina, serta membaik pulih fasiliti di Pusat Pematuhan Sehenti Hutan.
Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad, berkata langkah ini adalah sebahagian daripada inisiatif untuk memperkukuh fasiliti penguatkuasaan dan pemantauan hutan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).
“Seperti yang kita semua maklum, FoSCC memainkan peranan penting sebagai pusat seranta, pemeriksaan balak, audit hasil, serta penguatkuasaan dan pengurusan kawasan Hutan Simpan Kekal (PFE). Fungsi utama FoSCC adalah untuk melaksanakan dan memantau pematuhan proses kutipan hasil lesen-lesen hutan,” katanya dalam ucapan sempena perasmian Pejabat Mini FoSCC Tuyut, semalam.
Hamden menambah, FoSCC mula beroperasi sepenuhnya pada 2017.
Ia merupakan “Pejabat Kecil” Jabatan Hutan Sarawak yang berjarak sekitar 200 hingga 250 kilometer dari pusat bandar, sementara jarak antara FoSCC ke tempat penandaan royalti (Place of Royalty Marking) adalah kira-kira 40 kilometer.
Namun begitu, beliau, berkata ada juga FoSCC yang terletak di pusat bandar.
Pusat-pusat FoSCC ini dibangunkan untuk memudahkan pemegang taruh Jabatan Hutan berurusan, terutamanya bagi lesen-lesen yang berdekatan.
“Terkini, sebanyak 30 FoSCC dan enam (6) Stesyen Pemeriksaan Balak (Forest Checking Station) sedang aktif beroperasi.
“Setiap FoSCC dan FCS dikendalikan oleh tiga kakitangan yang bertugas secara bergilir dan beroperasi setiap hari,” tambah Hamden.
Menurutnya, bagi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13), lima FoSCC di kawasan PFE akan dinaik taraf dengan menggunakan pejabat mini berasaskan kontena mudah alih.
“Fasiliti ini dilengkapi dengan sistem solar, bekalan air, perabot pejabat, kemudahan ICT, dan keperluan asas lain bagi memastikan keselesaan dan keselamatan kakitangan di lapangan, selain meningkatkan keberkesanan pemantauan operasi pembalakan yang berlesen,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa langkah ini juga bertujuan untuk menutup sebarang ruang ketidakpatuhan dan ketirisan dalam kutipan hasil hutan, serta menjamin pemeliharaan alam sekitar secara menyeluruh.
“Matlamat kami adalah untuk menjalankan rondaan berkala dan memastikan tiada aktiviti pembalakan haram berlaku, sejajar dengan prinsip tadbir urus hutan yang telus dan bertanggungjawab,” katanya lagi.
Hamden berharap penubuhan pejabat mini ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada Jabatan Hutan Sarawak, tetapi juga kepada komuniti setempat melalui pengurusan hutan yang lebih efisien dan mampan.
Oleh Liong Chai Ling