
MIRI: Isu buli dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja terus diberi perhatian menerusi penganjuran Forum Bual Bicara Madani di SMK Baru Miri, baru-baru ini.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, forum bertemakan ‘Buli, Dadah dan Kekeluargaan’ itu menjadi platform penting untuk pelajar, guru dan ibu bapa membincangkan cabaran sosial yang boleh menjejaskan sahsiah generasi muda.
Menurutnya, program itu turut diperluaskan ke beberapa sekolah lain termasuk SMK Lutong, SMK Merbau, SMK Lopeng, SMK Baru dan SMK St. Columba bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan remaja.

“Program seperti ini penting untuk mendidik pelajar supaya lebih peka terhadap bahaya buli dan dadah, selain memahami peranan keluarga dalam membentuk nilai diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Forum itu menampilkan panel daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri dan Hospital Miri yang berkongsi pengalaman serta langkah pencegahan.
Chiew yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, penglibatan pelbagai agensi memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar mengenai risiko gejala sosial.
Beliau berharap program seumpama itu diteruskan secara berkala bagi memastikan ibu bapa dan guru memainkan peranan membimbing anak-anak menjauhi pengaruh negatif.
“Peranan keluarga amat penting dalam membentuk generasi berdisiplin dan bertanggungjawab,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling