Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Forum Meishan-Kuching perkukuh kerjasama digital serantau
  • SEMASA

Forum Meishan-Kuching perkukuh kerjasama digital serantau

Utusan Sarawak 8 hours ago
RAKAMAN gambar kenangan pada Forum Meishan–Kuching yang berlangsung hari ini di Hotel Hilton. Foto: Adele Rissa

KUCHING: Forum Meishan–Kuching yang berlangsung hari ini di Hotel Hilton menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh kerjasama serantau antara Kerajaan Rakyat Perbandaran Meishan, China dan para pemegang taruh utama dari Sarawak.

Program berprofil tinggi ini dianjurkan oleh Majlis Perniagaan BIMP-EAGA (Kluster ICT) dengan kerjasama Karuna (Sarawak) Enterprise Sdn Bhd, syarikat teknologi bandar pintar dan digital tempatan yang berpengkalan di Sarawak.

Forum berkenaan menghimpunkan pemimpin sektor awam dan swasta bagi meneroka peluang strategik dalam pembangunan bandar pintar, infrastruktur digital, pelaburan serantau dan pertukaran ilmu.

Delegasi dari Meishan diketuai oleh Naib Datuk Bandar, Wang Yue, bersama barisan pegawai kanan iaitu Timbalan Pengarah Eksekutif Yao Wendi, Pengarah Zhou Bo, Timbalan Gabenor Daerah Xiang Xuanfeng, dan Ketua Seksyen Zhu Qing. 

Kehadiran mereka mencerminkan minat mendalam Meishan untuk membina jalinan kerjasama global dalam bidang inovasi, transformasi digital dan teknologi bandar.

Sarawak pula diwakili oleh pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Sistem Maklumat Sarawak Sdn Bhd (SAINS), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Invest Sarawak dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) yang diketuai oleh Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng.

Forum ini dirasmikan oleh Pengerusi Negara BIMP-EAGA Malaysia, Nobel Pang manakala ucapan pembukaan disampaikan oleh Timbalan Pengarah Negara dan Ketua Kluster ICT, Angie Kueh. 

FORUM Meishan–Kuching yang berlangsung hari ini di Hotel Hilton. Foto: Adele Rissa

Sesi turut menampilkan pembentangan khas oleh Invest Sarawak yang mengetengahkan potensi pelaburan negeri dan kesiapsiagaan Sarawak dalam kerjasama digital serantau.

Sesi forum diteruskan dengan dialog dua hala bertemakan pembangunan serantau Sarawak dan Greater Borneo, teknologi digital serta perkhidmatan pintar, termasuk peluang kerjasama rentas industri dan institusi pengajian tinggi.

“Forum ini bukan sekadar pertemuan, tetapi jambatan kepada perkongsian ilmu, inovasi dan jalinan kerjasama jangka panjang antara Meishan dan Sarawak,” ujar Nobel Pang dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis diakhiri dengan sesi jaringan makan tengah hari serta komitmen bersama semua pihak untuk meneruskan kerjasama dalam bidang pemetaan digital dan pembangunan infrastruktur bandar pintar di rantau BIMP-EAGA bersama China.

Oleh Adele Rissa

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Jualan Rahmah MADANI antara pengisian Festival Maal Hijrah 1447 Sarawak
Next: Harvey Norman buka cawangan ketiga di Sarawak, The Spring Bintulu  

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.