
KUCHING: Forum Leo 2025 Daerah 308-A2 disifatkan sebagai landasan penting dalam melahirkan barisan pemimpin muda Sarawak yang berpandangan jauh, berdaya saing dan berjiwa rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin berkata penyertaan aktif para belia dari seluruh negeri membuktikan wujudnya semangat, tenaga dan komitmen tinggi dalam kalangan generasi muda untuk terus menyumbang dan menerajui kepimpinan di pelbagai peringkat.
“Forum ini bukan sekadar penutup simbolik tetapi manifestasi sebenar kesungguhan anak muda yang bersatu dalam matlamat untuk berbakti, memimpin dan berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis penutupan forum berkenaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Hotel Raia, hari ini.
Menurutnya, nilai teras Leo iaitu kepimpinan (leadership), pengalaman (experience) dan peluang (opportunity) diterjemahkan secara nyata melalui pelbagai pengisian sepanjang program, termasuk bengkel dan aktiviti khidmat masyarakat.
“Kepimpinan yang ditonjolkan peserta selari dengan nilai yang Sarawak perlukan iaitu berteraskan belas kasihan, keberanian dan tindakan yang berpaksikan prinsip,” jelasnya sambil menegaskan bahawa penglibatan belia amat penting dalam merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) ke arah masa depan yang inklusif dan mampan.
Katanya lagi, anak muda bukan sekadar aset masa depan malah sudah pun mencorakkan masa kini melalui inovasi, kerja akar umbi dan semangat sukarelawan yang tinggi.
“Forum ini bukan noktah. Ia permulaan kepada perjalanan lebih besar.
“Teruskan memimpin dengan keikhlasan, berkhidmat dengan tujuan dan berkembang dengan rendah hati,” ujarnya.
Oleh Amanda L.