KUCHING: Forum Belia Warisan Budaya Asia ke-2 platform dinamik untuk pertukaran idea, pengalaman dan kepakaran dalam pemuliharaan warisan budaya dibuka secara rasmi di Muzium Budaya Borneo, hari ini.
Bertemakan ”Memanfaatkan Kearifan Tempatan, Berinovasi untuk Melindungi Warisan Budaya Kita”, pendekatan kolaboratif dan antarabangsa forum ini memastikan ‘suara’ dan idea belia didengari dan dilaksanakan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kerajaan Sarawak komited untuk memelihara warisan budaya khususnya dalam era globalisasi.
“Inisiatif seperti forum belia ini menekankan kepentingan melibatkan pemimpin muda dalam usaha menggalakkan pemahaman tentang sejarah yang dikongsi bersama dan tradisi pelbagai di seluruh Asia.
“Pemuliharaan warisan bukan hanya tentang memelihara masa lalu.
“Ia juga merupakan pelaburan pada masa depan.
“Justeru, kita menggalakkan penglibatan belia secara aktif dalam pemeliharaan warisan budaya.
“Ini kerana belia akan dipertanggungjawabkan untuk menjaga khazanah ini untuk generasi akan datang,” katanya pada majlis perasmian Forum Belia Warisan Budaya Asia ke-2 di Muzium Budaya Borneo, anjuran Swinburne Innovation Malaysia, anak syarikat Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dengan kerjasama Yayasan Pemuliharaan Warisan Budaya China, hari ini.
Berlangsung hari ini hingga Sabtu ini, forum tersebut mengumpulkan lebih 100 pelajar universiti dari lebih 20 negara dengan tujuan memupuk dialog dan kerjasama dalam pemeliharaan warisan budaya Asia yang kaya.
Forum menampilkan ucaptama oleh cendekiawan dan konservator terkemuka, pembentangan pelajar dan pengalaman budaya yang mengasyikkan mempertandingkan Cadangan Pemuliharaan dan Penggunaan Warisan Budaya Asia sebagai sorotan utama.
Menerusi sorotan utama forum itu, sebanyak 20 pasukan universiti bakal bersaing untuk mendapatkan geran daripada Yayasan China untuk Pemuliharaan Warisan Budaya.
Setiap pasukan akan membentangkan cadangan inovatif untuk pemulihan atau pemuliharaan tapak warisan di negara asal masing-masing yang mengintegrasikan kearifan tempatan dengan teknologi moden.
Forum ini juga membincangkan spektrum isu yang meluas berkaitan pemeliharaan warisan budaya ketara dan tidak ketara.
Antara objektif terasnya termasuk meningkatkan kesedaran tentang nilai warisan budaya, menggalakkan pemahaman silang budaya dan menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam usaha pemuliharaan.
Agenda forum itu sejajar dengan inisiatif global seperti seruan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) untuk perlindungan warisan dan menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya ‘Matlamat 11: Bandar dan Komuniti Lestari’, yang memfokuskan kepada perlindungan budaya dunia dan warisan semula jadi.
Dalam tempoh lima hari akan datang, peserta juga akan meneroka persimpangan antara warisan budaya dan isu kontemporari seperti pembangunan bandar, pelancongan dan inovasi teknologi.
Dalam pada itu, forum ini menggalakkan pelajar mengambil pendekatan antara disiplin terhadap topik ini, memanfaatkan latar belakang akademik mereka yang pelbagai untuk menjana pandangan dan penyelesaian baharu.
Berlangsungnya Forum ini juga dijangka dapat memupuk generasi baharu yang menyokong dan memperlengkapkan belia dalam menghadapi cabaran terhadap pemuliharaan warisan pada abad ke-21.
Penglibatan institusi terkemuka seperti Swinburne Innovation Malaysia dan Yayasan China untuk Pemuliharaan Warisan Budaya menekankan kepentingan perkongsian serantau dan global dalam misi ini.
Disokong oleh kerajaan Sarawak dan penyertaan pelajar antarabangsa, forum itu menandakan satu langkah penting dalam kolektif usaha untuk melindungi dan memelihara warisan budaya Asia yang tidak ternilai.
Oleh Nur Ain Otsman