Baru-baru ini YAB Perdana Menteri dan YAB Ketua Menteri Sabah membuat kenyataan media bersama berkenaan pemberian khas kepada negeri Sabah.
Menurut kenyataan tersebut kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah telah berjaya mencapai kata sepakat mengenai kajian semula pemberian khas kepada Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini terdapat beberapa siri perbincangan dan rundingan di antara Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Beberapa perkara telah dipersetujui dalam terma dipersetujui mengenai perkara tersebut pada 14 Februari 2022.
Sebenarnya inilah kali pertama kajian semula dan persetujuan telah dibuat. Kali terakhir kajian semula mengenai pemberian khas kepada Negeri Sabah dilakukan pada tahun 1969.
Pencapaian awal
Dalam persetujuan yang dicapai, terdapat persetujuan bahawa amaun pemberian khas baharu kepada negeri Sabah dinaikkan sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022, dan amaun akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023-2026 mengikut kadar kenaikan yang dipersetujui Bersama.
Kenaikan 4.7 kali ini tidaklah besar sebenarnya dalam konteks keperluan sebenar untuk membangunkan negeri Sabah memandangkan kadar kemiskinan Sabah ialah tertinggi di negara ini, iaitu sebanyak 25.3 peratus.
Keluasan negeri Sabah juga sangat luas dan perlukan kemudahan prasarana infrastuktur asas bagi memajukan seluruh daerah di Sabah.
Kegagalan tuntutan 40 peratus
Yang nyata, tuntutan 40 peratus daripada hasil cukai negeri Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 masih lagi gagal. Kerajaan Pusat dan Negeri melunakkan kegagalan ini dengan menyatakan akan akan terus berunding di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. Hal ini kerana kerajaan Pusat bimbang akan menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan Pusat.
Dijangka amaun baharu yang dipersetujui dijangka diumumkan sebelum tahun 2026 dan jumlah akan diberikan pampasan untuk menggantikan bayaran pemberian khas kepada negeri Sabah sejak tahun 2022.
Reaksi PH
Sebelum itu, Pakatan Harapan (PH) Sabah telah memberikan reaksi balas terhadap kerajaan negeri Sabah pimpinan Perikatan Nasional (PN) dengan mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Sabah. PH Sabah mahu kerajaan negeri Sabah terus menuntut semula hak Sabah untuk mendapatkan 40 peratus hasil cukainya daripada kerajaan persekutuan. Hal ini kerana ini telah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Sebenarnya formula PH sebelum ini juga ditolak oleh Sabah dan Sarawak.
Kemarahan ini timbul apabila kenyataaan oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz di Dewan Rakyat bahawa hak Sabah untuk memperoleh 40 peratus daripada hasil cukai sendiri, yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), adalah tidak lagi terpakai kerana kajian semula ke atas pemberian khas tersebut telah dikaji semula.
Kenyataan ini sukar diterima oleh majotiti rakyat Sabah. Berdasarkan sentimen ini PH Sabah berasa kenyataan Tengku Zafrul agak melampau dan PH Sabah akan mengambil tindakan undang-undang mencabar kesahihan penjelasan Menteri Kewangan Persekutuan.
Tambahan pula, persetujuan baharu yang dinyatakan dibuat semasa tempoh darurat, iaitu di antara tahun 1969 dan 1971 serta melibatkan warta kerajaan yang dirahsiakan daripada rakyat Sabah.
Datuk Ewon Benedick selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian turut membidas kenyataan Menteri Kewangan tersebut. Beliau menegaskan bahawa formula pemberian semula dua perlima atau 40 peratus hasil persekutuan di Sabah kepada Kerajaan Negeri masih lagi tersurat di dalam Perkara 112C dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan Malaysia sehingga kini.
Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua Wakil Rakyat dan juga Ahli Jemaah Menteri untuk memastikan tuntutan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, termasuk pemberian hasil persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah haruslah dipatuhi dan dilaksanakan.
Pendirian Premier Sarawak
Ketika majlis berbuka puasa dengan anak Sarawak di Kuala Lumpur baru-baru ini, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberikan penegasan agar formula tepat daripada Putrajaya berhubung pengagihan hasil kepada Sarawak. Tuntuntan ini sangat besar maknanya untuk keadilan kepada negeri Sarawak.
Premier menyatakan beliau mahukan formula yang tepat mengenai jumlah yang diberikan, selagi perkara asas ini tidak diselesaikan Sarawak tidak akan menerima dan tidak akan bersetuju.
Memang terdapat dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuanmembenarkan semakan geran untuk Sarawak dan Sabah.
Kali terakhir ia disemak adalah pada tahun 1969, selepas itu tidak ada sebarang semakan.
Kadar sebelum ini ialah RM26.7 juta untuk Sabah dan RM16 juta untuk Sarawak setahun. Kesemua ini tidak disemak dan kekal tidak berubah sejak tahun 1969
Dalam Perkara 112D tersebut ada menyatakan bahawa “jika dalam apaapa kajian semula Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan sesuatu Negeri tidak dapat mencapai persetujuan atas apa-apa perkara, maka perkara itu hendaklah dirujukkan kepada penaksir bebas, dan syor penaksir bebas mengenai perkara itu hendaklah mengikat kerajaan-kerajaan yang berkenaan itu dan hendaklah dilaksanakan seolah-olah syor itu ialah persetujuan antara kerajaan-kerajaan itu.”
Sudah pasti Sarawak mahu yang terbaik agar proses pembangunan dilaksanakan di Sarawak akan dapat berjalan lancar. Usaha ini penting kerana kadar kemiskinan di negeri Sarawak adalah ketiga tertinggi, selepas negeri Kelantan di negara ini berdasarkan laporan jabatan statistik negara. Hal ini menunjukkan perlu lebih banyak usaha pembangunan dilaksanakan di luar bandar. Peruntukan yang ada belum lagi mencukupi bagi membasmi kemiskinan luar bandar dan kemiskinan bandar.
Terus Bersuara
Sebenarnya ini bukanlah kali pertama Premier menyuarakan isu pengagihan hasil kepada Sarawak di bawah usahamemperjuangkan hak Sarawak di bawah MA63 termasuk pemberian khas tahunan ini. Tahun lepas beliau, beliau mengeluh betapa kerajaan
Persekutuan pada masa kini hanya menyediakan RM16 juta untuk Sarawak dan tentulah tidak sesuai dalam konteks asas pengiraan dan jumlah pemberian tersebut tidak boleh diterima dalam konteks semasa. Penegasan agar perlu ada formula khusus dan objektif dalam menilai angka sebenar perlulah bersifat adil kepada negeri Sarawak yang sama-sama membentuk Malaysia dan perkara ini turut ada dalam Perjanjian Malaysia. Abang Jo perlu secara sinis dan kritis meluahkan bahawa;
“Bukan kamek orang anak manok diberi gia ajak. Orang Sarawak bukan manok (Kami bukan ayam untuk anda (kerajaan persekutuan) hanya memberi makanan (geran). Rakyat Sarawak bukan ayam. Apakah formula anda?,”
“Mereka ada kutip duti setem di Sarawak. Kalau tak ada orang beli harta, tak ada duti setem.
Jadi perkara macam ni ada formula dan Insya-Allah saya akan perjuangkan hak kami di bawah Perkara 112D”.
Ternyata isu ini bukan sahaja melibatkan negeri Sabah, akan tetapi negeri Sarawak.
Maka Sabah dan Sarawak perlu Bersatu bagi memperjuangkan kepentingan Sabah dan Sarawak.
Apa-apa hasil yang dikutip dari Sarawak perlu dikembalikan secara adil kepada negeri Sarawak sesuai dengan dasar dan keperluan semasa dan dinilai dari aspek sebagai negeri Persekutuan. Hakikatnya formula yang telus, selaras dengan apa yang sepatutnya dibayar di bawah Perlembagaan Persekutuan perlulah diterima oleh Sabah dan Sarawak.
Sekiranya sentiment ini gagal ditangani dengan baik, maka hubungan Sabah dan Sarawak dengan kerajaan Pusat akan dingin walaupun terdapat ahli parlimen Sabah dan Sarawak berada dalam kabinet kerajaan kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri. Sesuai dengan ini, langkah memperjuangkan hak-hak Sarawak perlu diletak diletakkan dalam landasan yang betul.
Ahli-ahli parlimen dan Menteri Kabinet dari Sabah Sarawak perlu mengambil peranan yang lebih pro aktif untuk mendapat hasil yang lebih berganda sesuai pula dengan nilai kewangan masa kini agar lebih banyak agihan hasil cukai yang dikutip dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak untuk kemakmuran bersama.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik
dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya
Universiti Malaya (UMCEDEL)