
KOTA SAMARAHAN: Format baharu Parlimen Belia akan diperkenalkan bagi membuka ruang lebih luas kepada golongan muda menyertai proses politik negara secara aktif dan tersusun.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata belia antara 18 hingga 35 tahun diberi peluang untuk menyertai parti politik pilihan mereka sama ada parti yang ditubuhkan oleh universiti tertentu atau gabungan beberapa universiti.
“Program ini bukan sekadar untuk memberi peluang kepada belia menyertai politik, tetapi untuk membentuk kepimpinan yang lebih dinamik dan berwibawa.
“Kita nak lahirkan pemimpin, bukan orang biasa-biasa. Anda adalah golongan yang terpilih untuk memimpin negara pada masa hadapan.
“Ini adalah peluang untuk belia mengubah landskap kepimpinan negara dan memperkenalkan sesuatu yang lebih segar dalam politik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sesi Syarahan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bersama Mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bertemakan ‘Dari Sarawak ke ASEAN: Mengangkat Aspirasi Belia dalam Arena Serantau’ di sini hari ini.
Johari berkata, untuk Parlimen Belia yang akan datang, tujuh parti politik akan ditubuhkan bagi memberi peluang kepada belia bertanding dan merebut kerusi dalam Dewan Rakyat.
“Kami mahu memberi peluang kepada mereka untuk menyertai parti yang mereka pilih, tidak semestinya parti yang ditubuhkan oleh universiti itu sendiri.
“Melalui format yang lebih terbuka ini, belia diberi ruang untuk mengasah kemahiran kepimpinan mereka dan membina pengalaman dalam dunia politik sejak usia muda.
“Program ini diharap dapat melahirkan pemimpin masa depan yang bukan sahaja berkualiti, malah juga lebih kreatif dan inovatif dalam menghadapi cabaran negara,” jelasnya ketika ditemui media pada majlis sama.
Katanya, pembaharuan itu bertujuan untuk memberi peluang yang lebih besar kepada belia menyuarakan pendapat mereka dan berperanan dalam keputusan penting negara.
“Ini adalah sesuatu yang kita belum pernah lakukan sebelum ini, dan kita perlu lebih kreatif untuk melihat apa yang belum kita lakukan.
“Dengan langkah ini, diharapkan generasi muda dapat menggalas tanggungjawab kepimpinan dengan penuh integriti dan visi, serta membawa negara ke arah yang lebih cerah. Masa depan negara ini ada di tangan anda,” ujarnya.
Proses ini dijangka akan disahkan pada September atau Oktober 2025, dengan pemilihan pertama dijangka berlangsung pada Januari atau Februari tahun depan.
Oleh Masrin Affirah