
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Penguna Malaysia (FOMCA) menyokong cadangan mewajibkan atau menggalakkan pemasangan kamera papan pemuka atau dashcam dalam kenderaan persendirian.
Ketua Pegawai Operasi FOMCA Nur Asyikin Aminuddin berkata peranti itu kini menjadi keperluan susulan peningkatan mereka yang memandu secara berbahaya.
“Cadangan ini boleh dipertimbangkan kerana kamera papan pemuka sudah menjadi keperluan memandangkan semakin ramai yang memandu secara melulu, agresif dan kurang sabar di jalan raya, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan serta pertikaian apabila berlaku kemalangan,” katanya kepada Bernama.
Nur Asyikin berkata langkah itu juga selaras dengan usaha kerajaan menggalakkan budaya pemanduan lebih berhemah melalui pemberian insentif kepada pemandu dengan mempunyai rekod pemanduan baik termasuk diskaun tambahan premium insurans.
Beliau berkata rakaman kamera papan pemuka boleh menjadi bukti bagi melindungi pengguna yang mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya, membantu mengurangkan risiko penipuan atau cubaan memutarbelitkan fakta oleh pihak yang bersalah, selain membantu pihak berkuasa dalam siasatan serta memudahkan proses tuntutan insurans.
Selain itu, rakaman juga boleh mempercepat proses penilaian tuntutan insurans kerana syarikat insurans mempunyai bukti lebih kukuh untuk menentukan liabiliti, sekali gus melindungi mangsa yang tidak bersalah daripada dituduh sebagai punca kemalangan.
“Kami melihat penggunaan kamera papan pemuka sebagai keperluan yang semakin penting untuk melindungi hak pengguna, khususnya dalam konflik kemalangan jalan raya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata sebarang cadangan untuk mewajibkan pemasangan kamera papan pemuka perlu diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), syarikat insurans, pengeluar kenderaan serta pengguna sendiri.
“Setiap dasar yang diperkenalkan pasti mempunyai implikasi terhadap pelbagai pihak sama ada dari segi kos, penguatkuasaan, pengurusan tuntutan insurans, perlindungan data peribadi mahupun hak pengguna,” katanya.
Beliau berkata FOMCA turut berpandangan sebarang usaha untuk memperluas penggunaan kamera papan pemuka perlu dilaksanakan secara berperingkat supaya tidak membebankan pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Pada Selasa lepas, peguam M. Partiben menyarankan kerajaan meneliti keperluan mewajibkan atau menggalakkan pemasangan peranti itu pada kenderaan persendirian sebagai sumber bukti digital yang sahih bagi membantu siasatan kes kemalangan dan jenayah jalanan serta mempercepat proses perundangan.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata kerajaan masih meneliti cadangan mewajibkan kamera papan pemuka dalam semua kenderaan kerana ia perlu mengambil kira pelbagai implikasi termasuk kos kepada rakyat serta keberkesanan pelaksanaan. – Bernama