KUCHING: Politeknik Kuching Sarawak terus menekankan kepentingan pendidikan dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus atau 448,000 tenaga mahir dan separuh mahir.
Ini bagi memenuhi permintaan pasaran pekerjaan menjelang 2030 yang memerlukan lebih ramai penyumbang berkemahiran bagi memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara.
Pengarah Politeknik Kuching Sarawak Hikmatullah Ahmad Khan berkata, trend kebolehpasaran graduan untuk tiga tahun berturut-turut adalah konsisten iaitu sekitar 90 peratus graduan telah mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
“Pada 2020, kadar peratusan yang mendapat pekerjaan adalah sebanyak 91.1 peratus, 2021 (96.4 peratus) dan 92.4 peratus 2022.
“Boleh dikatakan bahawa graduan Politeknik Kuching Sarawak adalah antara pilihan industri untuk memenuhi tawaran kerja,” katanya berdasarkan laporan pengesanan Graduan Politeknik Kuching Sarawak pada 2022.
Beliau berkata sedemikian pada majlis Konvokesyen ke 31 Politeknik Kuching Sarawak di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, menerusi Program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Career Advancement Programme (CAP) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi atau PENJANA-KPT CAP merupakan salah satu usaha Politeknik dan Kolej Komuniti dalam menjamin pekerjaan dan mengurangkan masalah pengangguran di kalangan graduan akibat wabak Covid-19.
“Seramai 1,791 graduan Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh Malaysia telah mengikuti program tersebut, dan 99.1 peratus daripadanya telah mendapat pekerjaan.
“Pada 2022, seramai 80 graduan dari politeknik, kolej komuniti, Univerisiti Teknologi MARA dan universiti awam sekitar Sarawak telah terlibat di dalam program tersebut dalam pengkhususan Fiber Competency Program dan Confined Space Training.
“Alhamdulillah, 100 peratus peserta telah ditawarkan pekerjaan sebagai Juruteknik.
“Dengan ini, Politeknik Kuching Sarawak telah membuktikan kecemerlangannya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” ujarnya.
Majlis Konvokesyen ke-31 Politeknik Kuching Sarawak meraikan graduan Sesi II: 2021/2022 seramai 999 orang graduan daripada 13 program Diploma.
Antaranya, 213 orang daripada Jabatan Kejuruteraan Awam, 138 orang daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik, 257 orang daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, 85 orang daripada Jabatan Kejuruteraan Petrokimia,194 orang daripada Jabatan Perdagangan dan 112 orang daripada Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Oleh Azreen Keria