SRI AMAN: Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang dinasihati tidak mudah termakan hasutan segelintir pihak yang cuba menimbulkan isu berkaitan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di media sosial.
Wakil rakyatnya merangkap Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata rakyat sebaliknya perlu memberi fokus terhadap perkembangan pembangunan di Sri Aman daripada mempercayai isu yang dilempar oleh pihak berkenaan.
“Semenjak berakhirnya zaman Barisan Nasional (BN), para pemimpin kita telah bertindak menubuhkan GPS bagi memberi lebih banyak fokus terhadap usaha pembangunan di Sarawak termasuk di Sri Aman.
“Bagaimanapun usaha berkenaan perlu mendapat sokongan menyeluruh daripada rakyat agar projek pembangunan yang dirancang untuk mereka dapat terus dilaksana tanpa digugat oleh pelbagai isu,” kata beliau.
Selain itu Harden ketika melakukan lawatan lapangannya sekitar Sri Aman baru-baru ini berkata rakyat yakin bahawa Kerajaan GPS sudah banyak berbakti terhadap proses pembangunan di kawasan mereka dari dahulu hingga sekarang.
Katanya banyak projek pembangunan fizikal sudah dan sedang dilaksana oleh Kerajaan GPS di kawasan Sri Aman seperti naik taraf Taman Tebingan Sungai Batang Lupar, pembinaan Jambatan Batang Lupar Kedua, jalan desa, naik taraf loji air, pembinaan jambatan konkrit dan banyak lagi.
“Pada masa yang sama juga pembinaan Projek Hospital Sri Aman Kedua bernilai RM180 juta juga hampir tiba ke penghujungnya dan akan mula beroperasi setelah mendapat tauliah daripada Kementeri Kesihatan Malaysia.
“Justeru saya berharap agar rakyat Sri Aman terus menghargai usaha pembangunan ini dengan bertindak menyokong GPS agar projek pembangunan yang sedang dilaksana dapat diteruskan dari masa ke semasa,” kata Harden.
Terdahulu beliau bersama rombongan Naim Gamuda JV (Join Venture) baru-baru ini telah meluangkan masa untuk meninjau masalah rakyat di empat kampung dan rumah panjang dalam kawasan ini.
Empat rumah panjang dan kampung yang dilawati oleh beliau dan rombongan tersebut adalah Rumah Lina di Bayai C, kawasan simpang Batu Lintang, Kampung San Tabut dan Rumah Sabung di Bayai Baru.
Oleh VALENTINE NGUMBANG