
KOTA SAMARAHAN: Festival of Ideas (FOI)@Sarawak x Pesta Buku Borneo 2025 menjadi wadah memperkukuh budaya ilmu, memupuk semangat inovasi dan memperkenalkan warisan sastera serta budaya Borneo ke peringkat global.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, penganjuran FOI di peringkat negeri merupakan usaha menghubungkan dunia akademia dengan komuniti setempat bagi menterjemahkan hasil penyelidikan, penulisan dan idea baharu kepada tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“FOI ini adalah cerminan aspirasi kita untuk memupuk budaya pemikiran kritikal, dialog terbuka dan semangat inovasi.
“Ia juga bertujuan memastikan idea yang lahir di universiti tidak terhenti di bilik kuliah, tetapi dapat diterjemahkan menjadi tindakan yang membangunkan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian FOI@Sarawak x Pesta Buku Borneo 2025 di Dewan Tun Abdul Rahman Putra, Unimas, hari ini.
Tambah beliau, selepas kejayaan FOI 2024 di Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPICC) yang menarik lebih 100,000 pengunjung, kerajaan memutuskan untuk menjadikannya acara tahunan peringkat nasional.

“Tahun ini FOI diperluas ke peringkat negeri bagi membolehkan universiti bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi tempatan mempamerkan hasil penyelidikan serta inovasi.
“Sarawak dipilih sebagai lokasi utama kerana kaya dengan budaya dan kreativiti yang menjadi sumber inspirasi kepada pembangunan ilmu serta inovasi tempatan,” tambahnya.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Unimas atas inisiatif menggabungkan FOI dan Pesta Buku Borneo sebagai acara bersama yang lebih inklusif serta menjimatkan sumber.
“Penganjuran bersama ini membolehkan semua pihak menikmati manfaat dan mengukuhkan jalinan kerjasama dan saya mengesa agar budaya membaca terus diperkasa bagi menggalakkan minat membaca dalam kalangan generasi muda.
“Hari ini kita menyatukan dua dunia penulisan dan pertuturan supaya ilmu mengalir bebas dari halaman ke pentas, dari pemikiran ke tindakan,” jelasnya.
Festival of Ideas (FOI)@Sarawak x Pesta Buku Borneo 2025 dianjurkan oleh Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), dan pelbagai rakan strategik lain.
Oleh Masrin Affirah