
KUCHING: Hubungan erat antara Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) dan media tempatan Sarawak terus diperkukuh menerusi Majlis Penghargaan Media Sarawak yang berlangsung meriah di Hotel Sheraton Kuching malam tadi.
Majlis tersebut menghimpunkan rakan media dari seluruh negeri sebagai penghargaan atas sokongan berterusan terhadap syarikat itu sejak hampir enam dekad lalu, bermula dengan penubuhan kilang pertama F&N di Kuching pada 1966 iaitu kemunculan pertama syarikat itu di Malaysia Timur.
Pengarah Komunikasi, Hal Ehwal Korporat dan Kelestarian F&NHB, Karen Tan Chui Chui berkata, kehadiran pengamal media ke majlis berkenaan mencerminkan kepercayaan dan kerjasama jangka panjang antara kedua pihak.
“Kita bukan sekadar berkumpul untuk menikmati hidangan, tetapi untuk meraikan satu hubungan yang telah terbina sejak hampir 60 tahun.

“Setiap kali anda menulis tentang kami, F&N menjadi sebahagian daripada cerita Sarawak untuk para pembaca anda, dan itu adalah sesuatu yang sangat kami banggakan,” katanya.
Sejak awal penglibatannya di Sarawak, F&N telah mengembangkan operasinya dengan dua kemudahan pengilangan di Kuching dan Matang, serta empat pejabat jualan di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
Antara pencapaian penting syarikat termasuk pengambilalihan jenama air mineral BORNEO pada 2006 dan pelancaran barisan pengeluaran minuman UHT di kilang Kuching pada 2017, yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Selain kejayaan dalam perniagaan, F&N turut menzahirkan komitmennya dalam membantu komuniti setempat, terutamanya ketika mereka sangat memerlukan.
Sebagai contoh, semasa banjir yang melanda Kuching pada bulan Ramadan lalu, pasukan F&N segera menghulurkan bantuan dengan menyediakan pek makanan kepada penduduk di Kampung Sinar Budi Baru dan Kampung Rantau Panjang Batu Kawa.
Semangat keprihatinan itu turut dizahirkan menerusi sumbangan tahunan sempena musim perayaan, khususnya kepada golongan kurang bernasib baik.
Sempena Tahun Baharu Cina tahun ini, lebih 500 penerima di seluruh negara termasuk Kuching menerima bantuan, antaranya menerusi kerjasama dengan Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC).
“F&N sinonim dengan perayaan, dan menyebarkan kegembiraan kepada komuniti adalah tanggungjawab yang kami pikul dengan penuh keikhlasan,” jelas Karen.
Dalam aspek kelestarian, F&N turut menjalankan penanaman 200 batang pokok di Bau bersama Jawatankuasa Pembangunan Bung Jagoi, serta meneruskan Program Pemuliharaan Air dan Hutan di kawasan berkenaan.
Sebahagian daripada para hadirin turut dijemput menyertai aktiviti pendakian ke Bung Jagoi keesokan harinya, sebagai peluang untuk merasai sendiri keindahan alam semula jadi dan khazanah biodiversiti Sarawak.
Mengakhiri ucapannya, Karen menzahirkan penghargaan ikhlas kepada seluruh warga media Sarawak atas kerjasama dan sokongan tidak berbelah bahagi selama ini.
Oleh Adele Rissa