
KOTA SAMARAHAN: Minat mendalam terhadap kraftangan telah membawa tuah kepada Flora Jonathan, apabila hobinya kini menjadi sumber pendapatan sampingan yang menguntungkan.
Flora, seorang ibu kepada seorang cahaya mata, pada mulanya hanya mengisi masa lapang dengan menghasilkan kraftangan.
Namun, tanpa disedari, beliau semakin teruja dan ketagih menghasilkan pelbagai jenis karya seni tangan.

“Minat itu datang dengan sendirinya kerana saya suka melihat benda-benda cantik.
“Maka, minat untuk menghasilkan kraftangan itu semakin kuat dalam diri saya,” katanya ketika ditemui pemberita Utusan Sarawak.

Bermula dengan sulaman kain bermotif Dayak, Flora kemudian mencabar dirinya untuk menghasilkan lebih banyak karya unik, termasuk mini kraftangan seperti ‘antin tangu’ atau subang tangu.
Tidak terhenti di situ, beliau juga terus mengasah kemahiran dalam menganyam tikar berwarna-warni dengan tema alam dan motif Dayak.
Selain itu, Flora juga mahir menghasilkan beg benang, ‘selampai’, baju burung, serta pelbagai jenis sulaman tangan yang lain.
Usaha dan dedikasi Flora bukan hanya membuktikan bakatnya yang luar biasa dalam seni kraftangan tradisional, tetapi juga membuka peluang untuk menjana pendapatan melalui hasil karyanya yang unik dan penuh dengan nilai budaya.
Oleh Norman B.