KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF FIREFLY, Phillip See menerima momento daripada Dato Sri Lee Kim Shin dan disaksikan oleh Kapten Nasaruddin Abu Bakar, Alias Suut daN Datu Buckland Bangik, semasa kunjungan hormat Kumpulan MAB ke pejabat Menteri Pengangkutan Sarawak di Bangunan Baitul Makmur di Petra Jaya pada 14 Mac lalu.
KUCHING: Syarikat Penerbangan Firefly bercadang untuk mengadakan penerbangan terus dari Pulau Pinang ke Miri dalam beberapa bulan akan datang terutamanya apabila sempadan antara negara mula dibuka semula.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Firefly, Phillp See berkata, pada masa ini, Firefly telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak untuk beroperasi tujuh kali seminggu antara Pulau Pinang ke Kuching dan akan memulakan penerbangan sulung pada 11 April depan
“Kami juga bercadang bahawa untuk mengadakan penerbangan terus dari Pulau Pinang ke Miri dan sebaliknya dalam beberapa bulan akan datang terutamanya apabila sempadan antara negara mula dibuka semula,” katanya.
Delegasi Kumpulan Malaysia Airlines Bhd. (MAB) dan Malindo Airways dari kumpulan Lion Air membuat kunjungan hormat kepada Menteri Pengangkutan, Pejabat Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin di Tingkat 7 Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya di Kuching pada 14 dan 15 Mac, lalu.
Delegasi pertama pada 14 Mac daripada Kumpulan MAB diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Phillip See, dan diiringi oleh COO Maswings, Kapten Nasaruddin Abu Bakar dan Pengurus Perhubungan Kerajaan MAB Sarawak, Alias Suut.
Manakala, delegasi kedua Malindo Airways pada 15 Mac, diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malindo, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri dan diiringi oleh Pengarah Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Kerajaan Malindo, Raja Saadi Raja Amrin.
Tujuan utama kunjungan hormat mereka adalah untuk menjalinkan hubungan yang erat dan hubungan yang kukuh dengan Kementerian Pengangkutan Sarawak khususnya dan Kerajaan Sarawak amnya.
Mereka juga berminat untuk mengetahui potensi pertumbuhan industri Pengangkutan Udara berhubung pembangunan Sarawak sehingga 2030.
Dalam pada itu, COO Kapten Maswings Nasaruddin Abu Bakar memberitahu bahawa, Maswings telah meningkatkan kekerapan penerbangan antara Miri dan Lawas daripada empat kali sehari kepada lapan kali sehari mulai bulan lepas.
Kelulusan itu diberikan oleh MOT Malaysia dan MAVCOM memandangkan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) adalah di bawah Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO).
Sementara itu, CEO Malindo Airways Kapten Mushafiz berkata, Malindo ialah syarikat penerbangan perkhidmatan penuh di mana mereka juga menawarkan tempat duduk kelas perniagaan kepada penumpang perniagaan dan mereka juga telah menjenamakan semula syarikat penerbangan mereka sebagai Batik Air Malaysia.
Syarikat penerbangan itu akan bekerjasama dengan Batik Air Indonesia di bawah kumpulan Lion Air.
Kapten Mushafiz juga menyatakan komitmen Malindo Airways untuk menyokong Sarawak dalam membina perhubungan udara terutamanya dengan pembukaan Nusantara, ibu kota baharu Indonesia, di seberang Pulau Borneo di Samarinda, Kalimantan.
Sementara itu, menurut Dato Sri Lee Kim Shin, kementeriannya sedang terlibat secara aktif dengan pemain industri pengangkutan udara untuk memastikan bergerak bersama ke arah lebih banyak sambungan udara antarabangsa, serantau dan domestik ke dan dari Sarawak pada masa hadapan.
“Kerjasama sinergi antara syarikat penerbangan dan kerajaan boleh menjadi pemangkin ke arah mewujudkan lebih banyak pertumbuhan dan pembangunan ekonomi,” ujarnya.
Semua syarikat penerbangan iaitu Firefly, Maswings, Malaysia Airlines dan Malindo menyatakan komitmen dan sokongan mereka dalam pembangunan industri pengangkutan udara di Sarawak.
Mereka memerhatikan bahawa Sarawak mempunyai potensi besar dari segi pertumbuhan dalam pelancongan dan perjalanan perniagaan serta perkhidmatan kargo udara. Sarawak juga terletak secara strategik dalam wilayah BIMP-EAGA.
Syarikat penerbangan itu juga diberi taklimat mengenai potensi dalam sektor minyak dan gas di Sarawak.
Shell Malaysia (Shell) akan memindahkan ibu pejabat aktiviti huluan mereka dan menempatkan 2,000 kakitangan mereka di seluruh Malaysia ke Miri, Sarawak.
” Selain itu, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) juga akan mula beroperasi di Miri. Dengan ini, adalah sesuai untuk syarikat penerbangan menyusun strategi dan merancang sambungan penerbangan mereka ke Bandaraya Miri,” tambahnya.
Kementerian Pengangkutan Sarawak memulakan penglibatan aktif dan berterusan dengan pemain industri pengangkutan, bergerak ke hadapan bersama-sama dalam membangunkan industri pengangkutan di Sarawak.
Oleh NUR AIN OTSMAN