KEWUJUDAN ‘mini FINAS’ di Sarawak mampu membangunkan industri kreatif di negeri ini.
Pelaksanaan ‘mini FINAS’ ini bermakna Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia(FINAS) di Sarawak akan mempunyai peranan yang sama dengan ibu pejabat FINAS di Selangor.
Menurut Pengarah Finas Borneo, Mohammad Rizal Mohamed Yunus, fungsi dan peranan asas FINAS di Sarawak sebelum ini hanya untuk produksi.
“Ada fungsi tambahan untuk cawangan di sini yang disokong oleh ibu pejabat bagi melengkapkan kandungan industri kreatif FINAS di Sarawak supaya FINAS di sini bukan berperanan hanya untuk produksi.
“Antara peranan yang perlu ada bagi pembikinan ‘mini FINAS’ di Sarawak adalah memberi peranan untuk menerima permohonan dana.
“Selain itu, pembangunan kandungan dan pembangunan modal insan juga merupakan antara peranan yang FINAS Sarawak perlu ada bagi melengkapkan ciri-ciri dan syarat untuk membangunkan ‘mini FINAS’ di Sarawak.
“Setakat ini, kami sedang berada di peringkat permulaan ‘mini FINAS’ iaitu kami sudah menjalankan fungsi yang sama dengan ibu pejabat FINAS.
“Pada masa akan datang kami merancang untuk mempunyai peranan yang lebih daripada ibu pejabat FINAS itu sendiri,” katanya.
FINAS sudah banyak membantu penggiat seni di Borneo(Sarawak dan Sabah) melalui program bantuan Dana Kandungan Digital(DKD) bagi menghasilkan filem dan rancangan televisyen. FINAS sudah menerima 47 permohonan berjumlah RM2.7 juta secara keseluruhan pada 2021.
“Secara tidak langsung, melalui bantuan tersebut kami juga telah membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan. Saya difahamkan 655 peluang pekerjaan telah ditawarkan kepada pemain industri produksi di seluruh Borneo,” katanya.
Pada 2020 pula, TVS (dahulunya TV Sarawak) iaitu saluran televisyen linear menerima dana RM2.9 juta bagi penghasilan kandungan digital untuk syarikat berkenaan.
“Oleh itu sebahagian daripada rancangan di TVS adalah daripada dana-dana kerajaan. Dana ini juga secara tidak langsung membuka 150 peluang pekerjaan,” katanya.
Sejak berlakunya pandemik Covid-19, kos untuk sebarang produksi naik kerana kekurangan kemudahan, peralatan kru produksi dan pelakon. Berikutan itu, ramai penggiat seni di Sarawak nekad berhijrah ke Semenanjung. Ini menyebabkan Sarawak kehilangan penggiat seni yang berbakat dan berpotensi untuk membangunkan industri kreatif di Sarawak.
Oleh hal demikian, katanya, FINAS memperkenalkan pelbagai bantuan melalui penyaluran dana seperti program DKD, bantuan rebat dan memberikan diskaun untuk penggiat seni di setiap negeri bagi mengatasi masalah tersebut.
“Kami telah mengusahakan pelbagai cara untuk membantu penggiat seni di sini bagi membangunkan industri ini di Sarawak namun ia terpulang kepada individu(penggiat seni) itu sendiri sama ada ingin membantu industri negerinya sendiri ataupun tidak.
“Sepatutnya, mereka(penggiat seni) mengutamakan negerinya sendiri pada pendapat saya. Kami sudah memberi yang terbaik dalam pelbagai cara bagi membantu mereka,” katanya.
Mohammad Rizal memuji usaha syarikat produksi dari Borneo bagi mempertingkatkan aktiviti perfileman selepas banyak peluang dibuka termasuk permintaan kandungan terutamanya stesen televisyen tempatan, TVS.
“Saya tidak nafikan mereka (TVS) berebut-rebut dan bersungguh-sungguh menghasilkan karya.
“TVS sangat mementingkan aspek kebudayaan, sebagai contoh, mereka mengutamakan barisan pelakon yang berasal dari Sarawak, 80 peratus pelakon yang membintangi sesuatu filem mesti berasal dari Sarawak dan 20 peratus lagi boleh diambil dari luar Sarawak.
“Apabila ada peluang sebegini, secara tidak langsung, bakat tempatan yang ada di Sarawak ini akan mendapat peluang bekerja secara berterusan. Bukan sahaja pelakon malah peluang pekerjaan sebagai kru di belakang tabir juga terbuka untuk masyarakat tempatan di Sarawak. Usaha ini layak mendapat pujian,” katanya.
MyCAP BANGUNKAN INDUSTRI KREATIF
Beliau juga menerangkan satu lagi program di bawah FINAS iaitu Program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) yang menjadi antara langkah penting bagi membangunkan industri kreatif di Malaysia khasnya dan di Sarawak amnya.
“Program MyCAP adalah program untuk menggumpul data bagi menyelaraskan kadar bayaran atau kadar gaji penggiat seni di pelbagai peringkat.
“Ini merupakan satu usaha FINAS bagi menjaga kebajikan pemain-pemain industri. Tanpa program ini FINAS dikatakan tidak mengambil berat pemain industri.
“MyCAP ini bukan sahaja diukur pada satu pihak sahaja, ia melibatkan tiga kategori iaitu individu, syarikat produksi dan persatuan. Dengan ada MyCAP ini ia sedikit sebanyak membantu mereka (anak seni).
“Sebanyak 10 persatuan telah dipilih dan diberikan peruntukan RM100, 000 bagi mereka lakukan aktiviti untuk ahli-ahli persatuan pada 2021.
“Sebab itulah perlu ada persatuan, kami akan berurusan dengan persatuan dan persatuan akan berurusan dengan ahli-ahlinya. Jadi penjagaan kebajikan penggiat seni akan lebih tersusun,” katanya.
Mohammad Rizal juga memandang tinggi keunikan budaya suku kaum serta kisah-kisah sejarah yang ada di Sarawak. Antara filem dan animasi yang telah diterbitkan berdasarkan kisah sejarah Sarawak adalah ‘Belaban Hidup’ dan ‘Pillar of Strength’.
Filem ini mengambil latar belakang kehidupan masyarakat Iban dan mengisahkan inspirasi perjuangan serta kisah kekeluargaan pejuang kemerdekaan Sarawak iaitu Rentap ketika kecil.
“Saya yakin kalau kita buat dengan betul-betul, kita boleh buat lagi baik dari yang sedia ada.
“Pada pandangan saya, filem-filem ini memerlukan satu ikon perfileman bagi menghidupkan watak serta filem itu sendiri. Ini bagi menarik minat penonton untuk menyaksikan filem itu.
“Saya yakin sekiranya ada kombinasi mantap di antara pelakon terkemuka negara dan digabungkan dengan pelakon ternama tempatan (Sarawak), filem di Sarawak mampu pergi lebih jauh,” katanya.
Mohammad Rizal menjelaskan bahawa pihak FINAS akan melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 29 Ogos nanti.
“Kami akan mengusulkan satu cadangan iaitu menjadikan Sarawak sebagai salah satu lokasi penggambaran.
“Kami ingin menggalakan pihak produksi-produksi luar untuk melakukan penggambaran di Sarawak. Pihak produksi luar yang datang ke Sarawak perlu mematuhi syarat-syarat tertentu bagi melakukan penggambaran di sini.
“Sebagai contoh, mereka perlu menggunakan pekerja-pekerja tempatan dan membeli atau menyewa segala keperluan dari produk tempatan. Jadi secara tidak langsung ini mampu menjana ekonomi penduduk tempatan, sekali gus menjana ekonomi negeri Sarawak. Ini adalah usaha yang akan diusulkan kepada Premier Sarawak,” katanya.
Bagi menyokong dan meneruskan pembangunan modal insan, FINAS telah menyediakan takwim bagi penggiat seni di Sarawak dalam usaha meningkatkan pembangunan modal insan.
“Sebagai contoh, kami akan mengadakan satu bengkel ‘Videografi YouTuber’ pada 26 hingga 28 Ogos ini bertempat di Gedong, Sarawak. Sehubungan itu, pada 29 dan 30 Ogos ini kami akan mengadakan bengkel animasi di Auditorium FINAS Sarawak.
“Pada peringkat awal, kami telah menerima banyak maklum balas bahawa banyak yang berminat untuk menghadiri bengkel ini.
“Dengan ada maklum balas positif ini, bermakna banyak pemain industri kita ingin tahu dengan lebih lanjut mengenai animasi. Ini salah satu perkembangan yang sangat baik.
“Saya harap ini akan menjadi titik permulaan bagi penggiat industri di Sarawak untuk menceburi bidang animasi. Akan ada banyak lagi siri-siri kursus akan kami adakan dan kami akan berhubung dengan semua persatuan yang ada serta agensi-agensi kerajaan contohnya Majlis Seni Sarawak dan Sarawak Media Group (SMG).
“Kami sentiasa bekerjasama dengan kerajaan Sarawak dan persatuan-persatuan yang ada bagi membangunkan industri kreatif di sini. Kalau FINAS sahaja memang tidak mampu untuk menghidup dan membangunkan industri kreatif di Sarawak. Kami memerlukan kerjasama semua pihak yang bertanggungjawab untuk sama-sama membangunkan industri kreatif di Sarawak,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT