EAST RUTHERFORD: Sepanyol menentang Argentina.
Dua kuasa besar bola sepak dunia bakal berentap untuk merebut trofi paling berprestij dalam sukan itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Final Piala Dunia yang berlangsung di East Rutherford 3.00 pagi esok (waktu Malaysia) menawarkan lebih daripada sekadar pertembungan dua bintang, Lionel Messi dan Lamine Yamal.Berikut adalah kelebihan yang memihak kepada juara bertahan Argentina dan juara Eropah, Sepanyol.
KEKUATAN SEPANYOL
Bek kiri Sepanyol, Marc Cucurella menonjol sebagai pemain yang tidak kenal penat lelah dalam benteng pertahanan pasukan itu.
Namun, rakan sepasukannya di bahagian kanan, Pedro Porro turut memberi impak besar dan menjaringkan dua gol antarabangsa pertamanya pada Piala Dunia kali ini.
Gandingan itu membantu Sepanyol mengekang serangan berbahaya Perancis pada aksi separuh akhir.
“Kami adalah pasukan yang sangat seimbang dan sebab itulah kami berada di sini,” kata seorang pemain tengah Sepanyol.
Pemain berusia 30 tahun itu menjangkakan perlawanan yang sangat fizikal menentang Argentina.
Bagaimanapun, jika Sepanyol mampu mengekalkan ketenangan seperti yang dipamerkan sepanjang kejohanan, mereka tidak seharusnya terpengaruh dengan sebarang provokasi daripada pasukan Amerika Selatan itu.
Penyerang Sepanyol, Mikel Oyarzabal pula mempunyai rekod luar biasa apabila menjaringkan gol dalam kesemua enam final yang pernah diharunginya sebagai pemain profesional.
Ia termasuk dua final Copa del Rey bersama Real Sociedad, dua final Liga Negara-Negara UEFA bersama skuad kebangsaan, final Kejohanan Eropah (EURO) 2024 yang menyaksikannya menjaringkan gol kemenangan serta bersama skuad Olimpik di Tokyo lima tahun lalu.
KELEBIHAN ARGENTINA
Terlalu tua? Lionel Messi nampaknya tidak pernah terlalu tua.
Pada usia 39 tahun, Messi sedang menikmati kempen Piala Dunia yang cemerlang dengan lapan gol dan empat bantuan jaringan.
Beliau memikul harapan pasukan dan seluruh negara di bahunya.
Benar, Messi mengambil masa untuk berehat ketika perlawanan berlangsung namun, beliau sentiasa hadir pada saat yang paling penting.
Rakan sepasukannya sentiasa memandang kepada beliau dan mencari kelibatnya apabila berdepan detik sukar.
Keadaan itu dijangka berulang dalam final yang berkemungkinan menjadi penampilan terakhir Messi di pentas Piala Dunia.
Perlawanan itu juga memberinya peluang untuk kembali memegang rekod penjaring terbanyak sepanjang sejarah Piala Dunia yang dirampas Kylian Mbappe selepas penyerang Perancis itu meledak dua gol ketika tewas 4-6 kepada England dalam penentuan tempat ketiga.
Mbappe kini mengumpul 22 gol manakala Messi hanya ketinggalan satu jaringan.Sokongan terhadap Messi membantu Argentina melepasi beberapa detik mencemaskan sepanjang pusingan kalah mati.
Mereka terpaksa mengharungi masa tambahan ketika menentang Cape Verde dan Switzerland selain menyelamatkan diri menerusi gol lewat permainan ketika bertemu Mesir dan England.
Justeru, Argentina tidak boleh dipandang rendah.Jurulatih, Lionel Scaloni pula boleh dianggap sebagai pengumpul trofi sejati.
Selain menjulang Piala Dunia, Argentina turut menjuarai Copa America sebanyak dua kali, masing-masing pada 2021 dan 2024 sepanjang kendaliannya. – Bernama




