MANILA: Filipina menuduh Kapal Pengawal Pantai China menembak meriam air ke arah bot yang menghantar bekalan kepada marin Filipina di Laut China Selatan yang dipertikaikan dan mengarahkan Beijing untuk ‘undur’ semalam.
Setiausaha Luar, Teodoro Locsin berkata, beliau telah menyatakan kemarahan, kutukan dan bantahan kepada Beijing berhubung insiden itu, yang menurutnya berlaku pada Selasa lalu ketika bot Filipina dalam perjalanan ke Second Thomas Shoal di Kepulauan Spratly.
“Nasib baik, tiada siapa yang cedera, tetapi bot kami terpaksa membatalkan misi bekalan semula mereka,” kata Locsin dalam satu kenyataan di Twitter, menyifatkan tindakan tiga kapal China itu sebagai tidak sah.
Locsin menyifatkan bot Filipina sebagai ‘awam’, mencadangkan ia adalah kapal awam, dan dilindungi oleh pakatan pertahanan bersama dengan Amerika Syarikat (AS).
“China tidak mempunyai hak penguatkuasaan undang-undang di dalam dan sekitar kawasan ini. Mereka mesti mengambil iktibar dan berundur,” tambahnya.
Ketegangan di laut yang kaya dengan sumber meningkat tahun ini selepas beratus-ratus kapal China dikesan di Whitsun Reef, yang juga berada di Kepulauan Spratly.
China yang bersaing dengan Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.menuntut hampir semua laut yang melaluinya dengan perdagangan trilion dolar setiap tahun.
Perairan yang dipertikaikan juga mempunyai kawasan penangkapan ikan dan dipercayai terletak di atas deposit minyak dan gas yang luas.
Beijing telah mengabaikan keputusan 2016 oleh Mahkamah Tetap Timbang Tara yang berpangkalan di The Hague, Belanda bahawa tuntutan sejarahnya ke atas sebahagian besar laut adalah tanpa asas.
China mengawal beberapa terumbu di Laut China Selatan termasuk Scarborough Shoal yang dirampas oleh Beijing dari Manila pada 2012 dan hanya 240 kilometer di barat pulau utama Filipina Luzon.
Ia telah menegaskan pendiriannya dengan membina beting kecil dan terumbu karang menjadi pangkalan tentera dengan landasan udara dan kemudahan pelabuhan.
Selepas China menduduki Mischief Reef pada pertengahan 1990-an, Filipina telah mendarat sebuah kapal tentera laut terbiar di atas Second Thomas Shoal berdekatan untuk menegaskan tuntutan wilayah Manila dan anggota Marin Filipina juga berpangkalan di sana.
Locsin berkata, beting itu berada dalam Zon Ekonomi Eksklusif Filipina dan memberi amaran kegagalan China untuk mengawal diri mengancam hubungan istimewa antara kedua-dua negara.
“Kami tidak meminta kebenaran untuk melakukan apa yang perlu kami lakukan di wilayah kami,” katanya.
Pada masa sama, kedutaan China di Manila tidak segera menjawab permintaan untuk komen.
Presiden Rodrigo Duterte telah berusaha untuk berpaling dari AS, bekas penguasa penjajah Filipina ke arah China sejak mengambil alih kuasa pada 2016 dan kelihatan keberatan untuk berhadapan dengan Beijing.
Tetapi, berdepan tekanan domestik yang semakin meningkat untuk mengambil tindakan yang lebih keras, Duterte menegaskan kedaulatan Filipina ke atas perairan itu tidak boleh dirundingkan.
Setiausaha Kabinet, Karlo Nograles berkata, “Kami akan terus menegaskan kedaulatan kami… ke atas wilayah kami.”
Pada Julai lalu Duterte mengundurkan diri pada keputusan untuk membatalkan perjanjian ketenteraan utama, Perjanjian Pasukan Pelawat dengan AS semasa lawatan Ketua Pentagon, Lloyd Austin.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan minggu ini, kedua-dua negara mengesahkan ‘komitmen perjanjian kami’ yang merangkumi kewajipan untuk bertindak balas terhadap serangan bersenjata di Kawasan Pasifik sama ada di AS atau Filipina.” -AFP