Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Filipina terima 15,000 dos ubat suntikan PrEP susulan peningkatan kes HIV
  • GLOBAL

Filipina terima 15,000 dos ubat suntikan PrEP susulan peningkatan kes HIV

Utusan Sarawak 3 hours ago
GAMBAR hiasan.

MANILA: Jabatan Kesihatan (DOH) Filipina berjaya mendapatkan sumbangan 15,000 dos ubat pencegahan pra-pendedahan (PrEP) jenis suntikan bertindak lama, Lenacapavir (LEN), menerusi inisiatif bersama Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) bagi menangani peningkatan kadar jangkitan HIV di negara itu.

Menurut Agensi Berita Filipina (PNA), DOH dalam satu nasihat awam pada Isnin memaklumkan bahawa bekalan ubat yang bakal diterima itu akan diagihkan secara percuma di kemudahan penjagaan HIV terpilih di seluruh negara.

Berdasarkan data daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), ubat berkenaan mempunyai tahap kecekapan yang tinggi dengan kadar keberkesanan sehingga 96 peratus untuk mencegah jangkitan HIV dalam kalangan individu yang diuji negatif virus berkenaan.

Berbeza dengan ubat makan harian, suntikan bertindak lama ini hanya memerlukan pesakit menerima satu dos setiap enam bulan, atau dua kali setahun.

Pengagihan 15,000 dos berkenaan dibuat ketika DOH terus menggesa agar isu HIV diisytiharkan sebagai Kebimbangan Kesihatan Awam yang Mendesak, berikutan lonjakan berterusan kes yang disahkan di Filipina.

Negara itu merekodkan 4,633 kes baharu HIV dari Januari hingga Mac 2026, bersamaan purata 51 diagnosis baharu setiap hari.

Jumlah kumulatif kes HIV yang dilaporkan di negara berkenaan mencecah 168,079 kes dari Januari 1984 hingga Mac 2026.

Individu berusia antara 25 hingga 34 tahun menyumbang 46 peratus daripada kes baharu, diikuti oleh mereka yang berumur 15 hingga 24 tahun sebanyak 31 peratus.

Golongan berusia 35 hingga 49 tahun merangkumi 18 peratus, manakala individu berumur 50 tahun dan ke atas mewakili tiga peratus.

Kurang daripada satu peratus kes melibatkan individu berusia di bawah 15 tahun.

Mengikut wilayah, Wilayah Ibu Negara (NCR) merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 989 kes, mewakili 21 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Ini diikuti oleh Calabarzon dengan 808 kes (17 peratus), Central Luzon dengan 551 kes (12 peratus), Soccsksargen dengan 277 kes (enam peratus), dan Wilayah Davao dengan 263 kes (enam peratus).

Selebihnya disumbangkan oleh wilayah-wilayah lain di negara itu dengan 1,719 kes atau 37 peratus.

Laporan itu juga menunjukkan seramai 1,104 individu disahkan menghidap penyakit HIV tahap lanjutan sepanjang tempoh berkenaan.

Sementara itu, seramai 4,716 individu didaftarkan untuk menjalani terapi antiretroviral (ART), yang merupakan rawatan standard bagi jangkitan HIV.

Berdasarkan anggaran, Filipina mempunyai kira-kira 288,000 orang yang hidup dengan HIV (PLHIV) pada tahun 2025.

Daripada jumlah itu, seramai 157,350 individu atau 55 peratus telah didiagnosis, manakala 108,367 orang sedang menerima rawatan ART, bersamaan 69 peratus daripada kes yang didiagnosis.

Bagaimanapun, hanya 59,540 individu berjaya mencapai tahap sekatan tularan, mewakili 55 peratus daripada mereka yang menerima rawatan. – Bernama

Tags: Global

Continue Reading

Previous: 15 maut, lebih 130 cedera dalam gempa bumi 7.8 magnitud di selatan Filipina

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.