Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Filem Tumbukan Emas: Kini fasa akhir pasca produksi, tayangan Julai ini
  • HIBURAN

Filem Tumbukan Emas: Kini fasa akhir pasca produksi, tayangan Julai ini

Utusan Sarawak 8 hours ago

PENGGAMBARAN SELESAI… Jalot bersama pasukan tenaga produksi bergambar ketika penggambaran selesai. Foto Facebook Jalot Jeman Legend

KUCHING: Filem Tumbukan Emas yang mengangkat kisah legenda tinju Sarawak, Sapok Biki, kini memasuki fasa akhir pasca produksi dan dijangka ditayangkan kepada umum bermula Julai ini sempena sambutan Hari Sarawak 2025.

Menurut Pengarah filem, Mohd Ghazali Jeman atau lebih dikenali sebagai Jalot Jeman, proses penyuntingan telah pun selesai dan pihak produksi kini memberi tumpuan kepada kerja teknikal terakhir sebelum tayangan di pawagam.

JALOT memberikan penerangan ketika Kilat Boy melakukan babak dalam air. Foto Facebook Jalot Jeman Legend

“Proses suntingan sudah pun selesai. Sekarang kami dalam fasa penyesuaian warna dan adunan bunyi akhir untuk tayangan pawagam.

“Seterusnya kami akan masukkan muzik, kesan khas serta bunyi latar sebelum dihantar ke studio untuk proses Dolby Surround.

“Kami juga akan menambah bunyi latar dan kesan khas bagi menjadikan filem ini lebih menarik ditonton di pawagam,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, hari ini.

Dalam pada itu, Jalot turut mengakui proses penggambaran filem berkenaan tidak mudah dan penuh cabaran, terutamanya apabila melibatkan pelakon utama yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang lakonan.

SALAH satu adegan dalam filem Tumbukan Emas. Foto Facebook Jalot Jeman Legend

“Cabaran utama adalah pelakon utama kami bukan pelakon profesional, sebaliknya seorang peninju terkenal Sarawak.

“Banyak aspek lakonan perlu diajar dari awal, tetapi alhamdulillah Kilat Boy berjaya membawa watak Sapok Biki dengan baik.

“Selain itu, penggambaran dibuat dalam bulan puasa dan hanya dalam tempoh 20 hari berbanding 45 hingga 60 hari seperti kebiasaan,” tambahnya.

Katanya lagi, kekangan masa tersebut berpunca daripada jadual tayangan yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) yang mahu filem tersebut siap menjelang Julai.

FILEM Tumbukan Emas.

“MTCP minta filem ini ditayangkan sempena Hari Sarawak, jadi kami perlu sesuaikan semua jadual dalam tempoh singkat,” katanya.

“Namun, dengan pengalaman yang kami ada, syukur semuanya dapat diselesaikan dengan baik.

“Fokus kami kini adalah memastikan semua aspek teknikal memenuhi piawaian tayangan pawagam,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai potensi kutipan filem ini, beliau menyatakan keyakinan bahawa Tumbukan Emas mampu mencipta kejayaan sekiranya mendapat sokongan promosi dan perhatian masyarakat, khususnya daripada komuniti tentera.

“Filem ini turut melibatkan kerjasama Tentera Darat Malaysia kerana Sapok sendiri berasal dari latar belakang tentera.

“Sekiranya anggota tentera seluruh Malaysia, yang jumlahnya sekitar 300,000 orang menonton dengan harga tiket RM20, kita boleh jangkakan kutipan awal RM6 juta.

“Jika lima peratus rakyat Malaysia turut menonton, potensi kutipan boleh mencecah RM30 juta. Tapi semuanya bergantung kepada kekuatan promosi,” ujarnya.

Mengakhiri perbualan, Jalot memaklumkan bahawa tayangan perdana dijangka berlangsung pada 23 Julai 2025, namun tarikh rasmi tayangan seluruh negara masih menunggu pengesahan pihak berwajib.

“Buat masa ini, kami letakkan sasaran tayangan perdana pada 23 Julai, tertakluk kepada keputusan MTCP dan kerajaan negeri.

“Tayangan di seluruh negara pula dijangka bermula awal Ogos 2025. Semua ini juga bergantung kepada kelulusan Wajib Tayang daripada pihak FINAS,” kata beliau mengakhiri perbualan.

Oleh Masrin Affirah

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Dolla tampil berani dengan single terbaharu, MWA!

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.