
LOS ANGELES: Filem The Super Mario Galaxy merupakan sebuah filem yang berdasarkan permainan video popular oleh Nintendo. Filem ini terus mengungguli carta kutipan tiket pawagam di Amerika Utara, menewaskan pesaing untuk minggu kedua berturut semalam.
Sekuel animasi daripada Universal Pictures and Illumination ini mengikuti pengembaraan Mario, Luigi dan rakan-rakan di angkasa lepas, di mana mereka perlu menyelamatkan Puteri Rosalina. Filem ini menampilkan suara Jack Black, Chris Pratt, Anya Taylor-Joy dan Brie Larson.
Filem itu meraih AS$69 juta pada hujung minggu kedua tayangannya, menjadikan jumlah kutipan domestik sebanyak AS$308.1 juta, ditambah lagi AS$321 juta di peringkat antarabangsa, menurut Exhibitor Relations.
Di tempat kedua untuk minggu keempat tayangan ialah satu lagi filem pengembaraan angkasa, Project Hail Mary, yang mengutip AS$24.6 juta pada hujung minggu di Amerika Syarikat dan Kanada.
Filem terbitan Amazon MGM Studios itu, yang dibintangi Ryan Gosling sebagai seorang guru yang menjadi angkasawan dan terjaga di atas kapal angkasa dengan misi menyelamatkan Bumi daripada matahari yang semakin malap, telah mengutip hampir AS$257 juta secara keseluruhan di pasaran domestik.
Kekal di tempat ketiga ialah The Drama, sebuah komedi romantik minggu kedua tayangan yang dibintangi Zendaya dan Robert Pattinson mengenai pasangan yang hubungan mereka mula retak menjelang perkahwinan. Filem terbitan A24 itu meraih AS$8.7 juta.
Memulakan tayangan di tempat keempat ialah satu lagi komedi romantik, You, Me & Tuscany terbitan Universal, dibintangi pelakon-penyanyi Halle Bailey dan Regé-Jean Page (terkenal menerusi Bridgerton), dengan kutipan AS$8 juta.
Penganalisis David A. Gross dari Franchise Entertainment Research menyifatkannya sebagai “pembukaan yang sederhana baik” bagi komedi romantik original itu, yang dirakam di pantai Amalfi, Itali.
“Ulasan pengkritik adalah baik tetapi tidak luar biasa, namun komedi romantik biasanya digemari penonton dan skor penonton adalah cemerlang,” katanya.
Di tempat kelima ialah filem animasi popular Disney/Pixar, Hoppers, yang mengisahkan seorang pencinta haiwan muda yang menggunakan teknologi untuk memindahkan kesedarannya ke dalam seekor memerang robot bagi berkomunikasi dan melindungi hidupan liar dengan lebih baik. Filem ini meraih kutipan sebanyak AS$4.1 juta.
Filem itu telah mengutip AS$354 juta di seluruh dunia sepanjang enam minggu tayangan. – AFP