LONDON, United Kingdom: Adaptasi filem The Odyssey arahan Christopher Nolan bukan sahaja berjaya menarik jutaan penonton ke pawagam, malah mencetuskan minat luar biasa di United Kingdom (UK) terhadap puisi epik karya Homer serta pelbagai karya mitologi Yunani dan Rom yang lain.
Sebahagian ahli akademik dalam bidang Pengajian Klasik berharap kejayaan filem itu di pawagam serta impak budayanya akan mendorong lebih ramai golongan muda mendalami bidang berkenaan.
Pelancaran filem itu pada pertengahan bulan ini membantu meningkatkan jualan edisi cetak The Odyssey di UK sebanyak 1,400 peratus dalam tempoh empat minggu hingga 25 Julai berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut firma penyelidikan pasaran NielsenIQ.
Terjemahan karya mitologi berusia ribuan tahun itu oleh ahli klasik British-Amerika, Emily Wilson, yang diterbitkan pada 2017 turut mencatatkan peningkatan jualan pada kadar yang hampir sama.
Rangkaian kedai buku terbesar Britain, Waterstones, melaporkan jualan terjemahan Wilson meningkat lebih 1,000 peratus berbanding 2025 dan terus bertambah setiap minggu, selain peningkatan pembelian bagi semua terjemahan lain yang tersedia.

Sementara itu, NielsenIQ memaklumkan beberapa karya berkaitan termasuk The Iliad, Circe karya Madeline Miller dan The Penelopiad tulisan Margaret Atwood turut mencatat peningkatan jualan yang ketara.
Buku The Odyssey hasil tulisan pelakon dan penulis Stephen Fry kini menduduki tempat pertama dalam senarai buku sejarah paling laris di laman sesawang Amazon UK.
Dua lagi bukunya berkaitan Pengajian Klasik, Mythos dan Troy, masing-masing berada di tangga kedua dan kelima.
Buku audio turut menerima tempias lonjakan itu apabila Spotify melaporkan carian bagi terjemahan The Odyssey meningkat sebanyak 310 peratus.
Fenomena
Pensyarah Pengajian Klasik Universiti Exeter, Richard Kendall, menyifatkan peningkatan jualan itu sebagai sesuatu yang hebat.
“Orang ramai memang tertarik dengan kisah-kisah seperti ini,” katanya kepada AFP.
“Yang sentiasa kembali kepada kisah Yunani dan Rom bukan hanya para penulis, sejarah, mitos, watak dan peristiwa malah para pembaca juga. Kisah-kisah ini sememangnya sangat menarik.”
Kendall, yang awal tahun ini menjadi pakar pertama yang dilantik sebagai expert-in-residence oleh The Classical Association Britain, mengingatkan agar minat baharu terhadap karya klasik itu tidak dilihat semata-mata sebagai kesan daripada filem.
“Jika ini dianggap sekadar gimik, ia sebenarnya sudah bertahan lebih 2,000 tahun,” katanya.
“Amat mengagumkan apabila karya ini kembali begitu popular. Orang ramai membaca lebih banyak, tetapi ini hanyalah satu lagi kitaran. Mereka akan sentiasa kembali kepada kisah-kisah ini.”
Di University College London (UCL), tempat Nolan dilaporkan mempelajari karya Homer ketika mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bahasa Inggeris, pihak universiti berharap jumlah pendaftaran pelajar akan meningkat.
“Fenomena filem ini amat luar biasa dan kami berharap dapat melihat peningkatan jumlah pelajar dalam beberapa tahun akan datang,” kata Ketua Jabatan Greek dan Latin UCL, Phiroze Vasunia, kepada AFP.
Beliau berkata minat terhadap Pengajian Klasik dan tamadun purba sememangnya meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, seiring dengan perhatian yang semakin memuncak terhadap filem Nolan.
Kritikan
Berdasarkan puisi Homer yang ditulis dalam bahasa Yunani sekitar abad ketujuh atau kelapan sebelum Masihi, filem itu mengisahkan pengembaraan wira Odysseus yang berdepan pelbagai cabaran ketika pulang dari Perang Trojan.
Filem berkenaan menampilkan Matt Damon sebagai Odysseus, Anne Hathaway sebagai isterinya Penelope, manakala Tom Holland melakonkan watak anak mereka, Telemachus.
Sebagai filem pertama Nolan sejak Oppenheimer yang memenangi Anugerah Oscar pada 2023, The Odyssey menerima pujian daripada penonton dan pengkritik, selain mengungguli kutipan pecah panggung Amerika Syarikat selama dua minggu berturut-turut dengan kutipan global mencecah AS$640 juta.
Namun, tidak semua pihak menyambut baik adaptasi moden terhadap antara karya tertua dalam sejarah manusia itu.
Emily Wilson, yang menghasilkan terjemahan terkenal The Odyssey dan pernah dipuji Nolan, mencetuskan perhatian minggu ini selepas menulis kritikan pedas terhadap skrip filem tersebut.
Menurutnya, filem itu “kurang mempunyai kedalaman dari sudut psikologi, emosi, politik dan etika.”
“Saya akan berasa malu jika saya yang menulis mana-mana bahagian skrip ini,” tulis Wilson dalam London Review of Books, sambil menambah bahawa filem itu “tidak memiliki banyak unsur yang menjadikan puisi asal begitu agung.”
Ahli sejarah terkenal Britain, Mary Beard, turut kurang yakin dengan adaptasi tersebut, namun seperti Wilson, beliau mengalu-alukan minat baharu orang ramai terhadap karya Homer.
Dalam tulisannya di The Times, Beard menyatakan bahawa “teka-teki erotik, ironi yang halus serta persoalan menarik mengenai kebenaran dan kepalsuan” dalam puisi asal telah digantikan dengan “mesej Hollywood yang agak berat mengenai kemerosotan tamadun.” — AFP





