
KUALA LUMPUR: Percaya pada semangat berpasukan, pengarah Lenny Ooi mempertaruhkan barisan wajah baharu sebagai peneraju filem Sentuhan Wira yang mengangkat kisah kemenangan bersejarah skuad badminton negara pada Piala Thomas 1992.
Ooi berkata proses uji bakat pada Oktober lepas melibatkan lebih 300 calon dan turut disertai legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek serta Datuk Cheah Soon Kit, yang membantu menilai keupayaan peserta khususnya dari aspek pergerakan asas di gelanggang.
“Pemilihan dibuat berdasarkan lakonan terlebih dahulu. Jika sesuai, barulah calon diuji kemahiran bermain badminton oleh Rashid dan Cheah. Kalau kemahiran tidak memenuhi keperluan, walaupun lakonan bagus, kami tetap tidak pilih,” katanya selepas sidang media Pengumuman Pelakon dan Penaja Rasmi filem Sentuhan Wira, di sini semalam.
Sebagai karya sulungnya dalam bahasa Melayu, Ooi berkata cabaran utama produksi adalah mencari bakat baharu yang benar-benar sesuai bagi membawakan watak bekas pemain negara secara asli dan meyakinkan.
“Untuk filem ini, kami bukan sekadar memilih pelakon, tetapi pemain badminton. Pergerakan badan mesti jelas dan mereka perlu benar-benar tahu bermain,” katanya.
Menurut Ooi, antara watak paling sukar dicari ialah jaguh badminton negara kidal, Soo Beng Kiang yang akhirnya diisi oleh pelakon Liang Chia selepas menepati kriteria termasuk menyerupai fizikal pemain berkenaan serta mampu menggayakan aksi di gelanggang.
Selain Liang Chia, pelakon lain terdiri daripada Kim Azzim sebagai Rashid Sidek; Sam Liew (Cheah Soon Kit); Ahmad Syafiq Khairul Anuar (Razif Sidek); Ahmad Syahir Mohd Syafe’in (Jalani Sidek); Azim Yusof (Rahman Sidek); Hon Kahoe (Foo Kok Keong); S Jay (Kuan Yoke Ming) dan Henry Ong (Wong Ewee Mun).
Ooi berkata semua pelakon akan menjalani latihan intensif kira-kira tiga minggu bersama-sama Rashid dan Cheah bagi memastikan setiap pergerakan di gelanggang menyerupai gaya permainan sebenar.
Beliau berkata produksi turut menggunakan rakaman arkib yang diperoleh daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebagai rujukan bagi meneliti semula gaya permainan, mata penting serta detik ikonik perlawanan sebenar.
Berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri hiburan aliran Cina, Ooi berkata Sentuhan Wira bukan sekadar memaparkan aksi sukan, sebaliknya membawa mesej perpaduan antara kaum sebagaimana semangat pasukan Malaysia pada Piala Thomas 1992.
“Pada 1992, kita ada pemain Melayu, Cina dan India dalam satu pasukan. Kami mahu generasi muda mengingati semula sejarah besar itu dan melihat bagaimana Malaysia boleh disatukan melalui sukan,” katanya, memaklumkan penggambaran akan bermula pada April depan.
Rashid pula menyifatkan penghasilan Sentuhan Wira sebagai satu penghargaan besar terhadap pengorbanan pemain yang pernah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Beliau berkata filem terbitan Victory Pictures itu membawa semula realiti perjuangan mereka untuk tatapan generasi baharu.
“Saya sangat bangga kerana pengorbanan kami dihargai dan diangkat ke layar perak. Ia kekal sebagai kenangan yang amat bermakna,” katanya.
Pelakon Ahmad Syafiq yang membawakan watak Razif Sidek mengakui menjadikan siri animasi Anak-Anak Sidek sebagai rujukan dalam menghayati peranannya, selain meneliti rakaman lama dan bahan sejarah berkaitan keluarga legenda itu.
“Fasa sekarang ialah fasa penyelidikan. Sebahagian besar cerita Anak-Anak Sidek berasaskan kisah sebenar dan selebihnya saya banyak bertanya kepada Datuk Rashid untuk mendapatkan semangat serta gaya permainan watak itu,” katanya.
-Bernama