
KUCHING: Filem pendek ‘Space Between’ arahan pengarah muda berbakat Danish Busmah, 28, telah berjaya mencuri perhatian dunia perfileman tempatan dengan gabungan visual memukau di Gua Niah serta naskhah penuh emosi yang ditulis khusus untuk pelakon pilihannya sendiri, satu pendekatan yang jarang dilihat dalam industri ini.
Berbeza daripada pengarah lain yang melalui proses uji bakat konvensional, Danish dengan penuh keyakinan mengambil langkah berani menulis skrip berdasarkan kekuatan dan personaliti pelakon yang sudah dikenali sejak awal lagi.

“Dari awal lagi saya sudah ada visi jelas siapa yang boleh bawakan watak-watak ini dengan sempurna.
“Jadi, proses pemilihan watak bukan sesuatu yang rumit atau lama kerana saya tahu mereka adalah pilihan tepat untuk membawa jiwa cerita ini,” katanya kepada media selepas tayangan perdana filem di TGV Cinemas Vivacity Megamall Kuching, petang tadi.

“Melihat Julai Billie dan Darweesha Dasuki menghidupkan watak yang saya bayangkan sejak awal adalah satu kepuasan luar biasa.
“Mereka bukan sahaja memberi keaslian malah membawa kedalaman emosi yang membuatkan filem ini benar-benar hidup,” menurutnya.

Proses perbincangan dengan pelakon hanya mengambil masa sebulan, sementara keseluruhan produksi selesai dalam tempoh dua hingga tiga bulan, satu pencapaian yang membuktikan kecekapan dan dedikasi pasukan produksi di bawah bimbingan Danish.
Filem pendek ‘Space Between’ membawa penonton menyelami kisah Sara, seorang kanak-kanak perempuan yang terpesona dengan cerita ayahnya mengenai roh dan harta tersembunyi di dalam gua-gua gelap Taman Negara Niah.
Namun, pencarian itu berubah menjadi satu pencerahan mendalam tentang rapuhnya kehidupan, beratnya warisan dan kasih sayang yang tidak terucap antara seorang bapa dan anak perempuan.
Danish berkongsi bahawa ilham cerita ini datang dari akar keluarganya sendiri yang berasal dari Kampung Lobang Batu berhampiran Tebakang, Serian, komuniti terkenal dengan aktiviti pengumpulan sarang burung.
“Bapa saya lahir dan dibesarkan di kampung itu. Saya membesar dengan cerita-cerita tentang kehidupan pengumpul sarang burung, dan dari situ datang inspirasi utama saya sebelum kami bawa cerita ini ke Gua Niah yang lebih besar dan bermakna,” katanya.
Namun begitu, Danish menegaskan filem ini lebih daripada sekadar kisah warisan atau sarang burung.
Ia menyelami konflik dalaman keluarga yang sering tersembunyi dan jarang diluahkan secara terbuka.
“Banyak keluarga mengalami perkara yang sama, tapi mereka tidak tahu bagaimana untuk meluahkan atau memahami satu sama lain. Filem ini adalah cerminan itu,” ujarnya.
Filem ini sangat peribadi bagi Danish dan beliau berharap karya ini mampu menyentuh hati penonton melalui tema universal mengenai hubungan keluarga dan cabaran komunikasi.
“Kita sering rasa kita seorang sahaja yang menghadapi masalah untuk faham keluarga, tapi sebenarnya ia perkara biasa dalam banyak keluarga.
“Saya harap filem ini membuka mata dan hati kita semua untuk lebih memahami dan menghargai hubungan kekeluargaan,” tambahnya.
Kini, pihak produksi sedang dalam perbincangan bersama TVS untuk menghantar ‘Space Between’ ke beberapa festival filem antarabangsa yang berprestij.
“Kami sudah menyenarai beberapa festival dan insya-Allah tahun depan kami akan mula menghantar penyertaan.
“Saya yakin filem ini berpotensi besar untuk mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Dengan pendekatan pengarahan yang penuh peribadi serta penulisan watak yang dicipta khusus untuk pelakon pilihan, ‘Space Between’ menyerlah sebagai karya sinematik yang bukan sahaja memukau dari segi visual tetapi turut meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa penonton.
Danish Busmah kini bukan sahaja membuktikan dirinya sebagai pengarah muda yang berbakat tetapi juga sebagai pembawa suara unik yang bangga dengan warisan dan kisah tempatan yang diangkat ke pentas global.
Filem ini akan ditayangkan buat pertama kali secara nasional di TVS (Saluran 122 MYTV, Unifi TV & Astro) pada 15 Jun 2025, 5.30 petang, bersempena dengan sambutan Hari Bapa.
Oleh Amanda L.