Filem Mesir ‘Mr VIP’ bakal tonjolkan Malaysia di dunia Arab

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Filem Mesir Mr VIP, yang sebahagiannya menjalani penggambaran di Malaysia, bakal mengetengahkan negara ini kepada dunia Arab apabila ditayangkan di pawagam di kebanyakan negara Liga Arab pada lewat tahun ini.

Tayangan filem itu juga akan memperkenalkan Malaysia kepada penonton di rantau berkenaan yang mempunyai sekitar 492 juta penduduk, selain meningkatkan profil negara sebagai destinasi menarik bagi penerbitan filem Arab.

Penerbit eksekutif Infinity Films Sdn Bhd Abdulrahman Suud berkata, Mr VIP menjalani penggambaran di Malaysia selama sembilan hari baru-baru ini dan dijadual mengadakan tayangan perdana di Mesir menjelang akhir tahun sebelum ditayangkan di pawagam di kebanyakan negara Liga Arab.

SEKITAR 45 peratus penggambaran filem ini dilakukan di Malaysia.

“Sekitar 45 peratus daripada penggambaran filem ini dilakukan di Malaysia, kebanyakannya di sekitar Lembah Klang, manakala beberapa babak dirakam di Genting Highlands.

“Rakyat Malaysia bersikap sopan dan menghormati kami sepanjang penggambaran. Kru berasa selamat dan seperti berada di rumah sendiri sepanjang berada di negara ini,” katanya kepada Bernama dalam temu bual.

Filem komedi kekeluargaan itu dibintangi pelakon terkenal Mesir Karim Abdel Aziz, pelakon wanita Yasmine Sabri serta pelakon komedi Mostafa Khater dan diarahkan oleh Moataaz El Tony.

Mr VIP diterbitkan secara bersama oleh Infinity Films Sdn Bhd dari Malaysia dan Synergy Plus dari Mesir.

Suud berkata kerjasama itu boleh membuka jalan kepada lebih banyak syarikat penerbitan filem Mesir untuk memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran pada masa hadapan.

“Industri hiburan Mesir sangat besar dan sering dianggap sebagai Hollywood dunia Arab,” kata bekas pelakon kelahiran Mesir yang kini bergelar ahli perniagaan dan telah menetap di Malaysia sejak 30 tahun lepas.

Beliau berkata, perbincangan juga sedang dijalankan untuk membawa filem Malaysia ke Mesir dan produk hiburan Mesir ke Malaysia, sekali gus memperkukuh pertukaran budaya serta hubungan antara rakyat menerusi filem dan hiburan. – Bernama