
KUALA LUMPUR: Gayong, filem aksi terbaharu yang mengangkat kisah pengasas dan mahaguru silat seni gayung Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman, bakal menembusi pasaran antarabangsa apabila ditayangkan di 33 negara Amerika Latin sedikit masa lagi.
Penerbitnya Eric Ong berkata peluang itu hadir selepas wakil pemasaran antarabangsa syarikatnya Movie Move berjaya mendapatkan pembeli dari Amerika Latin yang sangat berminat dengan filem berunsurkan seni mempertahankan diri Asia termasuk silat, ketika mereka berada di Festival Filem Cannes baru-baru ini.
“Mereka ternyata tertarik dengan filem Gayong ini dan menganggap ia sebuah naskhah yang menarik dan mutu penerbitannya yang begitu baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tayangan filem terbitan SOL Pictures itu akan dilakukan melalui platform penstriman digital (OTT) dan tidak melibatkan pawagam
“Kami masih menunggu kontrak perjanjian antara kedua-dua pihak yang kini masih dalam proses untuk disiapkan. Setakat ini belum ada kata putus tentang tarikh tayangan,” katanya.
“Apapun saya tetap berbangga apabila Gayong dapat menembusi pasaran Amerika Latin dan ini membuktikan filem tempatan serta seni bela diri silat juga mempunyai nilai tersendiri dan dikagumi di peringkat antarabangsa,” tambah beliau.
Filem arahan Faisal Ishak yang masih hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara itu dibintangi barisan pelakon popular seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip dan pelakon kelahiran Indonesia Yayan Ruhian.
Filem Gayong mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei pada 8 Mei lepas manakala tayangan di Singapura dijadual bermula 22 Mei ini. – Bernama