
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan atas kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen di bawah Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC).
Jawatankuasa Rayuan itu dalam kenyataan diterbitkan pada laman web rasmi FIFA mengesahkan bahawa ia telah menolak rayuan yang dibuat oleh FAM dan pemain – Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CFH350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000).
Ketujuh-tujuh pemain berkenaan turut digantung selama 12 bulan daripada aktiviti berkaitan bola sepak.
Menurut FIFA, tindakan itu disahkan selepas mengkaji penyerahan dokumen dan mengadakan perbicaraan.
FAM dan para pemain terbabit mempunyai 10 hari untuk memohon penghakiman penuh dan 21 hari untuk memfailkan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain berkenaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA, selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan FAM telah mengemukakan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.
FAM dalam kenyataan sebelum ini menjelaskan bahawa pihaknya telah mengenal pasti kesalahan teknikal dalam proses penyerahan dokumen melibatkan tujuh pemain berkenaan yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran.
Pada 15 Oktober lepas, Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pihaknya telah mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA berhubung isu itu.
–Bernama