PARIS: FIFA semalam mengumumkan bahawa mereka sudah membuka siasatan disiplin terhadap ‘kelakuan berlebihan’ Argentina ketika kejayaan pada final Piala Dunia mengatasi Perancis bulan lalu.
Pasukan Amerika Selatan itu menundukkan juara bertahan, Perancis menerusi penalti di Qatar selepas terikat 3-3.
Penjaga gol, Emiliano Martinez menunjukkan aksi tidak sopan selepas menang anugerah penjaga gol terbaik sebelum rakaman menunjukkan dia mempersendakan bintang Perancis, Kylian Mbappe dalam bilik persalinan.
FIFA berkata Argentina mungkin melanggar peraturan berkaitan “kelakuan berlebihan dan melanggar falsafah permainan bersih” dan “salah laku pemain dan pegawai.”
Badan induk bola sepak dunia itu juga menyiasat Persekutuan Bolasepak Argentina kerana melanggar peraturan media dan pemasaran.
Croatia disiasat kerana mungkin melanggar peraturan “diskriminasi” dan “larangan serta keselamatan dalam perlawanan”.
Pemain dilihat menyanyikan lagu dengan perkataan ‘fascist’ selepas kemenangan tempat ketiga berdepan Maghribi.
Pertahanan, Dejan Lovren mempertahankan diri dan rakan sepasukan dengan memberitahu AFP ia adalah “lagu patriotik berkaitan negara saya, yang bermakna saya sayang negara saya.” – AFP